Home Sukan NORRIS BANGGA JUARAI F1 DENGAN CARA SENDIRI

NORRIS BANGGA JUARAI F1 DENGAN CARA SENDIRI

ABU DHABI: Juara dunia Formula Satu baharu, Lando Norris berkata dia bangga menjuarai gelaran sulung dunia dengan caranya sendiri semalam, memetik laporan AFP menerusi Berita Harian.

“Itu antara perkara yang paling membanggakan saya,” kata pemandu Britain berusia 26 tahun itu.

“Saya rasa saya berjaya menjuarainya dengan cara yang saya mahu, tanpa menjadi orang lain daripada diri saya sendiri,” ujarnya.

“Tanpa cuba terlalu agresif seperti Max (Verstappen) atau sekuat mana juara lain mungkin sebelum ini, saya gembira. Saya menjuarainya dengan cara saya – sebagai pemandu yang adil, berusaha menjadi jujur.

“Kadang-kadang, bolehkah saya lebih agresif, lepas brek dan menyingkirkan beberapa pemandu? Pasti boleh, mungkin saya perlu buat begitu pada masa depan, tetapi adakah itu saya? Tidak. Adakah itu cara saya nak berlumba? Tidak.”

Norris merangkul gelaran pemandu sulungnya sekali gus melengkapkan gelaran berganda pertama McLaren sejak 1998 dengan penamat ketiga di belakang pemenang dari Red Bull, Max Verstappan dan rakan sepasukannya Oscar Piastri.

Dia yang menangis memenangi kejuaraan itu dua mata di depan Verstappen, yang terpaksa melepaskan gelarannya selepas empat tahun berturut-turut, dalam perlumbaan penamat musim di Grand Prix Abu Dhabi yang penuh emosi didominasi strategi dan taktik.

Pelumba muda Britain itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan, keluarga dan rakan atas sokongan mereka susulan kejayaan itu, dengan gaya rendah diri yang menjadikannya salah seorang pelumba paling popular dalam Formula Satu.

“Saya rasa bangga tetapi bukan kerana esok saya bangun dan berkata, ‘Saya kalahkan semua orang’,” katanya.

“Saya tidak bangga hanya kerana boleh kata saya juara dunia. Saya bangga kerana rasa saya sudah menggembirakan ramai orang.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here