Home Hiburan IDEA 100 JAM ANJUR KONSERT SEMBILU

IDEA 100 JAM ANJUR KONSERT SEMBILU

KUALA LUMPUR: Sembilu The Reunion Live In Concert yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 7 Februari tahun depan lahir daripada ilham spontan penganjur, Ezuwan Ismail, kira-kira 100 jam sebelum sidang media pengumuman konsert berlangsung.

Memetik laporan Berita Harian, Ezuwan yang juga pereka fesyen terkenal, berkata idea Konsert Sembilu timbul selepas melihat kejayaan konsert pertama anjuran syarikatnya, Ideatelier, iaitu konsert penyanyi dari seberang, Sammy Simorangkir yang tiketnya habis dijual dalam tempoh sehari sahaja.

“Apabila melihat sambutan menggalakkan itu, kami jadi teruja untuk anjurkan lagi konsert. Kami hendak buat secepat mungkin dan yang terlintas di fikiran adalah Sembilu.

“Ketiga-tiga penyanyinya, iaitu Datuk Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira pula masih relevan. Kita semua tahu betapa besar impak filem itu kira-kira 30 tahun dulu.

“Tanpa fikir panjang, saya terus hubungi penerbit filem itu, Datuk Yusuf Haslam untuk dapatkan kebenaran. Beliau terus bersetuju dan selepas itu barulah saya hubungi yang lain,” katanya pada sidang media pengumuman konsert itu di sini, baru-baru ini.

Biarpun persiapan dilakukan dalam tempoh singkat kira-kira 60 hari sebelum menjelang konsert, Ideatelier meletakkan kepercayaan penuh kepada tiga figura, iaitu Awie, Ziana dan Erra yang menjadi tunjang kekuatan konsert berkenaan.

“Perkara terakhir, saya percaya kepada rezeki Allah. Dia sudah tetapkan apa yang terbaik untuk kita. Kalau kita tidak buat, mungkin orang lain akan buat. Jadi, saya ambil risiko itu,” katanya.

Penyanyi bervokal lantang, Ziana Zain mengakui tempoh dua bulan persiapan untuk konsert adalah kerja ‘gila’.

Namun, selepas diyakinkan Ezuwan bahawa mereka mempunyai pasukan kerja yang bagus, barulah akhirnya, Ziana bersetuju terbabit dalam konsert berkenaan.

“Saya terkejut apabila diberitahu masa hanya ada dua bulan, saya kata ‘ini kerja gila’.

“Namun, apabila diperkenalkan barisan pasukan kerja yang hebat dan dedikasi, saya terus rasa yakin dengan kemampuan mereka.

“Soalan utama saya adalah mengenai strategi promosi dan pemasaran. Adakah masa mencukupi? Bagaimana dengan papan iklan? Aspek ini sangat penting untuk memastikan hebahan konsert sampai kepada orang ramai.

“Pemilihan Pengarah Muzik (MD) pun bukan perkara main-main. Ini sangat mencabar kerana MD perlu bijak menggabungkan genre pop balada saya dengan genre rock, Awie agar muzik kami serasi.

“Kita perlukan orang yang betul-betul berpengalaman mengendalikan konsert,” katanya.

Selain itu, Ziana tidak boleh berkompromi soal kualiti bunyi dan pencahayaan terutama di lokasi berskala besar.

“Saya juga tanya pasal sistem bunyi, cahaya dan visual. Saya tidak boleh berkompromi sekiranya aspek itu diabaikan. Elemen itu yang akan menaikkan semangat dan memberi impak pada konsert,” katanya.

Bagi primadona filem Melayu, Erra Fazira, persetujuannya untuk menjayakan konsert itu disebabkan faktor gabungan semula pelakon asal filem pecah panggung terbabit.

Erra berkata, beliau sering mengelak apabila ditanya mengenai konsert solo kerana perasaan gemuruh, namun kehadiran Awie dan Ziana memberikan kekuatan buatnya.

“Sebenarnya, ramai peminat bertanya bila saya hendak buat konsert. Jawapan saya secara konsisten adalah ‘tahun depan’.

“Tetapi, apabila mereka cadangkan untuk gabungkan kami bertiga menjelang 2026 ini, saya fikir, ini masanya. Gemuruh itu kurang sikit sebab Ziana dan Awie di sebelah,” katanya.

Awie pula memang menyimpan hasrat untuk kembali berkongsi pentas bersama dua rakan seperjuangannya itu selepas konsert Suara Kita.

“Saya memang ada niat nak buat juga (konsert) sebenarnya. Kami pernah bersama dalam satu konsert Suara Kita.

“Memang ada perancangan hendak buat Suara Kita 2, tetapi tiba-tiba benda ini (Konsert Sembilu) timbul. Saya fikir ini sesuatu yang boleh mengembalikan nostalgia,” katanya.

Tiket menyaksikan Sembilu The Reunion Live In Concert akan mula dijual hari ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here