NAPLES: Rasmus Hojlund meledak dua gol untuk membantu Napoli merampas tangga teratas Serie A selepas menang 2-1 ke atas Juventus dan bekas pengendali mereka, Luciano Spalletti yang pulang hampa.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, penyerang Denmark itu menanduk masuk gol kemenangan 12 minit sebelum tamat di Stadium Diego Armando Maradona.
Pemain berusia 22 tahun itu turut membuka tirai jaringan untuk Napoli, gol pertama bersama kelabnya sejak meledak jaringan kemenangan ke atas Genoa pada awal Oktober.
Napoli kini satu mata di depan Inter Milan selepas menamatkan rekod tanpa kalah Juve sejak Spalletti mengambil alih pada akhir Oktober.
Namun mereka boleh dipintas AC Milan awal pagi esok menerusi kelebihan jaringan jika pasukan gergasi tujuh kali juara Eropah itu menewaskan Torino.
“Yang mampu saya katakan hanyalah terima kasih, terima kasih, terima kasih kepada pemain,” kata jurulatih Antonio Conte, yang sebelum ini dilihat hampir berdepan kejutan dipecat selepas kekalahan mengaibkan di Bologna sebelum rehat antarabangsa lalu.
Namun Napoli menang lima aksi berturut-turut dalam semua pertandingan sejak itu walaupun dilanda krisis kecederaan dan seterusnya akan berkunjung ke Portugal menentang Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
“Mereka meningkat begitu banyak. Ia membuatkan saya berasa amat bangga kerana mereka memahami apa yang kami cuba lakukan dan tempoh yang kami lalui, serta memberi tindak balas luar biasa,” tegas Conte.
Juve kini lapan mata di belakang pendahulu selepas 14 perlawanan ketika Spalletti – yang mengemudi Napoli menjulang Scudetto pertama sejak lebih tiga dekad pada 2023 – bergelut mencari rentak bersama skuad baharunya.
Juve tampak berada di landasan untuk membawa pulang sesuatu apabila Kenan Yildiz tenang menyempurnakan gol keenam musim ini selepas bertukar hantaran menarik dengan Weston McKennie.
Juve beraksi lebih baik pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkan momentum dan apabila Yildiz dikeluarkan pada minit ke-76 disusuli pantas oleh jaringan kemenangan Hojlund.
McKennie menghadiahkan peluang keemasan kepada Hojlund apabila sekadar menanduk lemah satu hantaran lintang ke arah penyerang berbadan tegap itu yang tidak mensia-siakan peluang dari jarak dekat.
Ia penamat buruk bagi aksi yang dimulakan dengan sorakan boo padu daripada penyokong Napoli ke atas Spalletti, yang menyebabkan kemarahan mereka selepas menerima jawatan di Juve walaupun pernah menyatakan tidak akan melatih mana-mana kelab lain selepas kejayaan bersejarahnya itu.
“Kami lebih baik selepas gol itu tetapi ia kesilapan budak sekolah, kami tidak menekan dengan baik sebagai satu pasukan,” kata Spalletti. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






