Home Sukan NIDZAM LEGA PRESTASI NSFC KEMBALI MEYAKINKAN

NIDZAM LEGA PRESTASI NSFC KEMBALI MEYAKINKAN

SEREMBAN: Memetik laporan menerusi Berita Harian pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil berpuas hati dengan komitmen tinggi ditunjukkan anak buahnya walaupun hasrat untuk melakar kemenangan tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1, dengan Kuala Lumpur City FC (KL City), dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali berusia 45 tahun mengakui bukan suatu tugas mudah buat skuadnya untuk mengutip tiga mata walaupun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri kerana KL City memiliki kekuatan tersendiri dan pemain yang lebih berkualiti.

“Selepas gagal dalam aksi sebelum ini, pasukan kembali kepada prestasi yang lebih baik dan kita berpuas hati sedikit kerana dapat mengutip satu mata malam ini (malam tadi).

“Kita sedar bukan suatu tugas yang mudah buat pemain Negeri Sembilan apabila berhadapan dengan KL City kerana mereka adalah pasukan yang sangat matang selain memiliki pemain lebih berkualiti.

“Namun pemain sudah menunjukkan sikap yang positif serta semangat perjuangan dan disiplin tinggi apabila tidak berputus asa untuk mendapatkan gol penyamaan walaupun sehingga ke penghujung saingan,” kata Nidzam.

Nidzam mendedahkan kekalahan kepada Melaka FC sebelum ini ternyata memberi pengajaran berguna kepada pemain skuad Hobin Jang Hobin, apabila mereka dilihat lebih fokus, tampil dengan aksi yang lebih bertenaga dan dapat mengawal permainan dengan baik.

“Apa yang kita hilang dalam perlawanan sebelum ini, ternyata memberi impak yang baik terhadap pasukan melalui persembahan yang memberangsangkan dipamerkan malam ini.

“Memang menjadi sasaran kita untuk terus kekal pada tahap prestasi terbaik dengan meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan.

“Jadi, untuk perlawanan akan datang kita seharusnya tidak boleh lagi mensia-siakan setiap peluang sebaliknya perlu buktikan dengan prestasi yang lebih baik bagi melonjakkan kedudukan pasukan dalam liga,” kata pengendali berpengalaman yang sebelum ini pernah membimbing Selangor FC.

Dalam aksi malam tadi, Joseph Esso menjadi penyelamat Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 selepas pasukan itu ketinggalan menerusi jaringan Kpah Sherman pada minit keenam. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here