KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian, bintang ‘senior’, Liza Abdullah menjadi antara selebriti dihormati dan disenangi dalam kalangan penggiat industri seni tanah air.
Bukan hanya sikapnya yang mesra, malah, peribadi yang merendah diri biarpun sudah lebih empat dekad mengukir nama sebagai anak seni. Tidak hairanlah, Liza mudah didekati siapa sahaja.
Bercerita mengenai kembara seninya, ramai tidak tahu, Liza berpeluang menemui Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma pada awal pembabitannya.
Pengalaman itu disifatkannya sebagai antara detik paling berharga ketika mula bertatih sebagai penyanyi.
Mungkin generasi sekarang tidak ramai yang tahu bahawa Liza mengukir nama sebagai penyanyi terlebih dahulu, sebelum menceburi dunia lakonan.
Menyingkap kenangan itu, Liza atau nama penuh, Norliza Abdullah memberitahu, pertemuan singkat bersama primadona legenda itu menjadi antara dorongan untuk terus bertahan dalam industri seni.
Aura Allahyarham Saloma yang disenangi ramai, ditambah pula dengan pesona seniwati itu, menjadi pegangan Liza sehingga hari ini.
“Saya sempat berjumpa dengan Allahyarham Saloma, malah, lagu nyanyiannya, Ada Ubi Ada Batas, ada suara saya di belakang sebagai penyanyi latar. Tidak cukup itu, saya sempat jumpa Kassim Masdor.
“Saya juga pernah jadi penyanyi latar untuk bintang Indonesia, Hetty Koes Endang dan ramai lagi. Disebabkan itulah, kalau ditanya apa yang saya tidak buat dalam industri seni, semua saya sudah buat.
“Menyanyi dan berlakon, semua saya buat. Pada mulanya, saya menyanyi tetapi ‘main-main’. Saya rapat dengan Allahyarham Datuk S Atan sebelum beliau berkahwin.
“Jadi, setiap kali arwah perlukan penyanyi latar, saya buatlah. Saya juga pernah jadi penyanyi latar untuk Herman Tino menerusi lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir,” katanya.
Liza mengakui ramai mempersoalkan apakah dia bermula sebagai pelakon atau penyanyi. Akuinya, minat lebih cenderung kepada dunia nyanyian, tetapi, peluang dalam bidang lakonan lebih bersinar.
“Kalau hendak tahu, drama saya bersama Datuk ND Lala, iaitu Apa Erti Rindu Ini dapat sambutan.
“Saya juga menyanyikan lagu untuk beberapa filem, tetapi ramai tidak tahu. Jadi, saya banyak sumbangkan suara untuk lagu yang kurang didendangkan. Tetapi, itulah, dalam kehidupan, kita hanya merancang dan Allah yang menentukan. Saya masih lagi menerima undangan menyanyi dan mengacara.
“Cuma saya tiada lagu popular macam orang lain. Namun, saya masih menyanyi dan saya baru sahaja hasilkan single untuk album ketuhanan,” katanya.
Justeru, anak jati Kuala Lumpur ini mengaku banyak pengalaman ditimba bersama orang lama dalam industri kreatif. Melalui Allahyarham Saloma, Liza belajar untuk sentiasa tampil menarik.
“Allahyarham Saloma pernah cakap. Kita sebagai selebriti, orang hendak tengok kita cantik. Ada setengah orang, boleh keluar rumah dengan penampilan bersahaja. Saya sedar bukan cantik mana pun, tapi orang suka tengok kita elok dan cantik. Jadi, saya sentiasa bersiap.
“Bukanlah hendak kata saya sentiasa bersolek. Pergi umrah, kita tak bersolek. Tetapi, orang hendak tengok kita dengan penampilan cantik. Jadi, kalau orang tanya saya soal jaga penampilan, saya memang jaga. Saya juga buat ‘facial’… Semua itu saya buat, tak tipu,” katanya.
Tidak hairanlah, pada usia 61 tahun , Liza yang popular menerusi watak Mak Leha, iaitu ibu mentua jahat dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku, tidak dimamah usia.
Liza berkata, biarpun banyak pengalaman ‘mahal’ dilaluinya, ia bukanlah tiket ntuk meninggi diri. Malah, setiap kali menerima penghargaan atas kerja seni, Liza tidak pernah hanyut dengan pujian.
Pernah meraih trofi bagi kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Liza yang pernah membintangi banyak filem pecah panggung era 1980-an seperti Ali Setan, Pagar Pagar Cinta, Jejaka Perasan dan Tujuh Biang Keladi, mengakui terharu dihargai sebegitu rupa.
Hampir empat dekad bergelar pelakon, Liza tidak menyangka, dia masih diberi peluang menjadi finalis ABPBH 37.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah. Saya tak pernah menjangka sebab saya terjun ke dunia seni, tidak pernah minta untuk terima anugerah. Saya berlakon, cari duit dan buat yang terbaik.
“Saya pernah menang trofi ABPBH. Saya tidak sangka selepas 40 tahun, saya diangkat sebegitu rupa. Bagi saya, apresiasi itu terlalu tinggi… Sampai saya terfikir apakah ini betul. Rasa macam hendak menangis.
“Ketika itu, saya fikir saya mahu ‘slow down’. Namun, saya fikir, ia tidak boleh dibuat. Mungkin Allah beritahu, berlakon sebagai ibadat dan boleh tunjuk peraka baik. Jadi, apabila saya layak dicalonkan tahun ini pula, saya rasa sangat bersyukur,” katanya.
Bolos Top 10 kategori Aktres Pembantu TV Popular pada ABPBH 37, Liza seronok dapat bersaing dengan pelakon muda.
“Bolos Top 10 saya sudah berterima kasih kepada peminat dan mereka yang suka tengok saya, Sudah tentu, tiada yang lama, tiada yang baru. Orang selalu anggap bintang lama sudah tidak diperlukan… Pemikiran itu silap.
“Dalam dunia lakonan , kita perlukan orang lama. Jadi, apabila diangkat sebegini, saya bersyukur. Saya tidak pernah rasa kecil hati tidak diangkat ketika zaman muda. Siapa sahaja yang pegang trofi, saya fikir layak. Kita kena tolong menolong antara satu sama lain,” katanya.
Selain Liza, kategori Aktres Pembantu TV Popular dibarisi pelakon seperti Azah Aziz, Azza Elite, Dayang Areeda, Hannah Delisha, Mas Anizan, Nadia Brian, Raja Azura, Sharifah Haneesya dan Shaza Bae. – BH Online –
IMedikel TV






