MADRID: Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin mendedahkan nasihat ikhlas Marc Marquez mengenai proses pemulihannya daripada kecederaan sangat memberi kesan kepadanya sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pelumba Aprilia itu mengalami kemalangan teruk pada hari pertama ujian pramusim, mengakibatkan beberapa keretakan dan memaksanya menarik diri daripada baki persiapan musim sejuk.
Martin sekali lagi terjatuh ketika sesi latihan sebelum perlumbaan pertama musim MotoGP 2025 dan sejak itu tidak beraksi.
Dia dijadualkan membuat kemunculan semula hujung minggu depan di Grand Prix Qatar.
Dalam satu temu bual bersama edisi Sepanyol Motorsport.com, Martin berkongsi mengenai nasihat yang diterimanya daripada rakan pelumba khususnya Marquez sepanjang tempoh kecederaannya.
“Marc dan pelumba lain, seperti Pecco (Bagnaia) menasihatkan saya supaya tidak tergesa-gesa, ambil masa untuk pulih sepenuhnya.
“Itulah nasihat paling berharga. Dalam kes Marc, kata-katanya sangat bermakna kerana dia sendiri pernah mengalami kecederaan dalam tempoh yang lama. Dia bercakap dari hati.
“Ia sangat menggembirakan apabila pesaing anda menunjukkan keprihatinan, kerana itu juga bermakna mereka mahu melihat anda kembali berlumba, bersaing di atas podium bersama mereka.
“Apabila anda melihat rakan pelumba menanggung derita, anda benar-benar dapat merasai apa yang mereka lalui,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






