Home Sukan NAPOLI BENAM MILAN, MASIH DALAM MISI PERTAHAN GELARAN SERIE A

NAPOLI BENAM MILAN, MASIH DALAM MISI PERTAHAN GELARAN SERIE A

68
0

MILAN: Napoli masih dalam pemburuan untuk mempertahankan gelaran Serie A selepas juara itu menewaskan pencabar Scudetto, AC Milan 1-0, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Matteo Politano yang masuk dari bangku simpanan meledak gol tunggal perlawanan dengan baki 11 minit di hadapan penyokong yang bergembira di Naples ketika tuan rumah mencatat kemenangan kelima berturut-turut.

Napoli memintas Milan untuk naik ke tangga kedua, namun mereka masih berdepan tugas sukar untuk menghalang Inter daripada meraih gelaran liga ke-21 apabila kini ketinggalan tujuh mata dengan tujuh perlawanan berbaki.

Pasukan bimbingan Antonio Conte tampil lebih baik di Stadio Diego Armando Maradona dengan gol kedua Politano musim ini menjadi pemisah dalam perlawanan yang agak hambar, ditambah pula Milan hanya mampu menurunkan penyerang bintang, Rafael Leao dan Christian Pulisic.

“Ini detik yang menggembirakan buat kami kerana kami kembali ke tempat kedua. Saya berterima kasih kepada pemain atas apa yang mereka lakukan musim ini kerana ia sebenarnya boleh berakhir dengan buruk,” kata Conte mengenai musim yang dihimpit kecederaan.

“Kami kembali seperti musim lalu dan perlu teruskan tanpa terlalu yakin.”

Milan kini ketinggalan sembilan mata di belakang seteru setempat mereka, Inter dan besar kemungkinan hanya mampu menumpukan usaha untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

“Saya rasa kami sudah tersingkir daripada perebutan Scudetto. Kami sembilan mata di belakang Inter dan Napoli kini di depan kami,” kata Allegri.

“Kami ada kelebihan beberapa mata untuk kedudukan Liga Juara-Juara, jadi kami perlu cuba kekalkan keadaan itu dengan memenangi beberapa perlawanan.”

Kemenangan Napoli hadir tanpa Romelu Lukaku yang menimbulkan kemarahan pengurusan kelab selepas kekal di Belgium untuk mendapatkan rawatan kecederaan pinggul, manakala penyerang Denmark, Rasmus Hojlund pula diketepikan akibat masalah perut.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here