Home Buletin Semasa NAFI DAKWAAN TAMPAR CUCU NIK AZIZ, SIFATKAN TUDUHAN FITNAH – KETUA UMNO...

NAFI DAKWAAN TAMPAR CUCU NIK AZIZ, SIFATKAN TUDUHAN FITNAH – KETUA UMNO BERUAS

362
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Berus, Datuk Dr. Azhar Ahmad menafikan dakwaan beliau menampar seorang pelajar universiti seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak benar dan berpunca daripada rakaman video yang tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kejadian yang dirakam itu berlaku ketika beliau menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik pada 20 Mei lalu.

“Semasa saya berjalan ke Dewan Makan selepas selesai menyampaikan syarahan, saya telah diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kelantan dan dimaklumkan bahawa beliau adalah anak saudara kepada sahabat saya.

“Dalam suasana yang mesra, saya telah bersalaman dan menyentuh pipi beliau sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan saya dengan keluarganya. Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau menjelaskan, insiden itu berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak termasuk pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, pegawai serta peserta program yang berada di lokasi ketika kejadian.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa kesal terhadap penyebaran video berkenaan yang didakwa tidak memaparkan situasi sebenar sehingga mencemarkan reputasinya.

“Saya kesal apabila rakaman video yang tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta mencemarkan reputasi saya.

“Saya menyeru semua pihak agar meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan yang tidak berasas.

“Saya juga menyimpan segala hak saya di sisi undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang menjejaskan reputasi saya,”katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan video di media sosial yang mendakwa beliau bertindak menampar seorang pelajar yang cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.  

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here