Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pengiklanan dan penjualan produk vape secara dalam talian yang dipercayai melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
KKM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, tindakan itu susulan aduan yang dibangkitkan oleh orang ramai menerusi media sosial berhubung penjualan dan promosi produk vape melalui beberapa platform laman sesawang.
Menurut kementerian itu, semakan telah dijalankan terhadap 10 laman sesawang yang diadukan dan hasil siasatan mendapati empat daripadanya telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan di bawah Seksyen 263(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Manakala enam lagi laman sesawang masih dalam tindakan susulan siasatan,” menurut kenyataan itu.
KKM menjelaskan Akta 852 mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 sebelum pelaksanaan penuh dilaksanakan setahun kemudian iaitu pada 1 Oktober 2025.
“Bagi memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut, kementerian melaksanakan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang memberi tumpuan kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape,”jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu sehingga 30 April tahun ini, sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan telah dilaksanakan membabitkan pemeriksaan ke atas 683,704 premis di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 233,831 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan yang boleh dikompaun, manakala 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun,”menurut kenyataan itu.
Dalam aspek pendakwaan pula, sebanyak 398 kes masih dalam proses mahkamah, sementara 204 kes telah selesai dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM1.19 juta.
KKM turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap iklan dan promosi produk tembakau serta vape secara dalam talian dijalankan secara berterusan.
“Sehingga 30 tahun ini, sebanyak 2,595 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 7, 8, 9 dan 10 Akta 852,” katanya.
KKM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan Akta 852 dan akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda daripada bahaya produk merokok.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan pelanggaran undang-undang kesihatan boleh menyalurkannya melalui talian WhatsApp Aduan Merokok di 010-860 8949.
IMedikel TV






