Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyebarkan amaran awal banjir menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penduduk bagi langkah berjaga-jaga atau berpindah ke kawasan yang selamat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata sistem hebahan SMS atau ‘flash broadcast’ tersebut akan dilakukan secara bersasar kepada mereka yang berhadapan dengan risiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
“Langkah awal yang telah diambil dari aspek kesiapsiagaan ialah komunikasi bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir dan pihak kami membuat penyelarasan pengurusan bencana bersepadu di peringkat daerah dan negeri.
“Syarikat telekomunikasi akan membantu membuat sebaran nasihat dan amaran banjir secara percuma, perkhidmatan ini amat penting untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan komuniti yang terbabit untuk membuat persediaan segera,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah kerjasama bersama JPS, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta syarikat-syarikat telekomunikasi negara.
Tambahnya, kesemua syarikat telekomunikasi yang terlibat telah bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos hebahan SMS ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.
“Sebagai penambahbaikan, NADMA mengingatkan semua syarikat telekomunikasi agar sentiasa memantau tapak-tapak menara telekomunikasi yang berada di kawasan berisiko tinggi serta menyediakan penjana kuasa dan stesen pemancar pangkalan mudah alih supaya dapat mengurangkan gangguan perkhidmatan,” katanya.
Tambahnya Malaysia kini sedang mengalami keadaan cuaca yang lembab ekoran bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 5 November lalu dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2025 seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
IMedikel TV






