Home Luar Negara 8 MAUT, 17 CEDERA DALAM SERANGAN PISAU DI SEKOLAH DI CHINA

8 MAUT, 17 CEDERA DALAM SERANGAN PISAU DI SEKOLAH DI CHINA

119
0

BEIJING: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 17 lagi cedera dalam serangan pisau pada Sabtu di sebuah sekolah vokasional di timur China, dan suspek yang juga seorang bekas pelajar, telah ditahan, menurut kenyataan polis.

Serangan itu berlaku pada waktu malam di Institut Seni dan Teknologi Vokasional Wuxi di bandar Yixing, wilayah Jiangsu, kata polis Yixing dalam satu kenyataan yang turut mengesahkan jumlah mangsa.

Polis berkata, suspek ialah seorang bekas pelajar berusia 21 tahun di sekolah berkenaan yang sepatutnya menamatkan pengajian tahun ini, tetapi gagal dalam peperiksaannya.

“Dia kembali ke sekolah untuk meluahkan kemarahan dan melakukan pembunuhan ini,” kata polis, sambil menambah bahawa suspek telah mengaku bersalah.

Sekolah tersebut, yang mempunyai kira-kira 12,000 pelajar dari seluruh dunia, menurut laman sesawangnya, terletak kira-kira 150 kilometer (km) di barat Shanghai dan menawarkan kursus dalam seni, reka bentuk, seramik, serta fesyen, antara lain.

Polis Yixing berkata perkhidmatan kecemasan digerakkan sepenuhnya untuk merawat mangsa yang cedera selain menyediakan sokongan susulan kepada mereka yang terkesan akibat serangan itu.

Tiada video mengenai serangan itu ditemui di media sosial – satu petanda bahawa pihak berkuasa mungkin telah memadamkan rakaman dari pelbagai platform.

Jenayah menggunakan pisau bukan sesuatu yang jarang berlaku di China, di mana kawalan ketat dikenakan ke atas senjata api, tetapi serangan dengan jumlah kematian yang tinggi jarang terjadi.

Awal minggu ini, seorang lelaki berusia 62 tahun membunuh 35 orang dan mencederakan lebih 40 lagi apabila dia merempuh orang ramai menggunakan SUV kecil di bandar Zhuhai, selatan China.

Pengguna internet melahirkan rasa terkejut dengan dua serangan maut dalam minggu yang sama.

Namun, komen tertentu telah dipadamkan dari Weibo, terutama di bawah hantaran akaun rasmi media mengenai insiden di Yixing, di mana CCTV dilaporkan mendapat 6,357 komen, tetapi hanya sebahagian kecil yang kelihatan.

Selain kes di Yixing dan Zhuhai, terdapat siri serangan lain sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Oktober, di Shanghai, seorang lelaki membunuh tiga orang dan mencederakan 15 yang lain dalam serangan pisau di sebuah pasar raya.

Sebulan sebelumnya, seorang pelajar sekolah Jepun maut ditikam di bandar Shenzhen, selatan China, yang bersempadan dengan Hong Kong.

Pada Mac 2014, serangan pisau ke atas penumpang kereta api di sebuah stesen di Kunming menyebabkan kira-kira 30 orang terbunuh dan lebih 140 cedera.

Pihak berkuasa menyalahkan militan pemisah dari wilayah Xinjiang yang bermasalah atas kes tersebut. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here