Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bagi memastikan bekalan makanan asas tidak terputus sepanjang musim tengkujuh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melantik kira-kira 160 pemborong dan peruncit di seluruh daerah negeri ini mulai 1 November ini.
Langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya berlaku antara November hingga Mac setiap tahun.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail dibuat berdasarkan pengalaman banjir besar pada tahun 2014, yang menyebabkan gangguan bekalan apabila semua pemborong dan peruncit berpusat di Kota Bharu.
“Apabila jalan terputus dan kedai tidak dapat diakses, banyak kawasan luar bandar terputus bekalan. Belajar daripada situasi itu, kita kini lantik pemborong dan peruncit di setiap daerah,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, setiap pemborong dan peruncit yang dilantik akan diberi kuota tambahan sebanyak 30 peratus untuk menyimpan stok barangan keperluan asas dari November hingga Mac, dalam tempoh kritikal musim tengkujuh.
“Kita mahu pastikan apabila banjir berlaku, bekalan seperti beras, gula, tepung dan minyak masak dapat diagihkan segera kepada penduduk terjejas. Tahun lalu, dengan sistem ini, kawasan seperti Pasir Mas dan Tumpat tiada gangguan bekalan,” katanya.
Menurut beliau setakat ini, terdapat kira-kira 3,000 peruncit dan pemborong di negeri ini, namun hanya sekitar 160 daripadanya akan dilantik secara rasmi sebagai pemborong dan peruncit dengan kuota tambahan khas musim tengkujuh.
Langkah ini dijangka dapat menjamin kestabilan bekalan dan mengelakkan berulangnya masalah kekurangan barangan keperluan di kawasan yang terputus hubungan akibat bencana banjir.
IMedikel TV






