KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama memilih untuk mendiamkan diri dari arena badminton negara, bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek kini kembali ke gelanggang latihan.
Kelibatnya dilihat sedang melatih beberapa pemain gelanggang Nusa Mahsuri dan menimbulkan persoalan adakah Misbun akan terus menabur baktinya sebagai jurulatih di Malaysia atau memilih untuk meninggalkan negara ini.
Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad berkata, Misbun dijangka membuat keputusan berhubung hala tujunya dalam sedikit masa lagi.
“Buat masa ini Datuk (Misbun) masih belum membuat keputusan lagi sama ada untuk menerima tawaran luar atau tidak. Tapi sebagai seorang yang sudah lama bersama beliau sejak saya bergelar pemain lagi, apabila dia sudah kembali ke gelanggang itu bermakna dia sudah bersedia untuk kembali memikul tanggungjawab.
“Ini kerana sebelum ini dia memilih untuk bertenang, berehat dan memancing tapi bila dia dah kembali ke gelanggang itu bermakna dia dah bersedia dan tempoh berehat sudah tamat,” katanya.
Menurut Kamal, Misbun ketika ini mengalu-alukan mana-mana pemain yang berminat untuk berlatih di bawah bimbingannya seperti mana dilakukan oleh tiga pemain remaja dari Thailand yang berlatih di bawah kendalian Misbun di Nusa Mahsuri.
Kamal berkata, Misbun ketika ini sedang meneliti tawaran mengikut syarat dan kehendak yang diinginkan beliau.
Difahamkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand sedang berusaha untuk melantik pengendali berusia 63 tahun itu serta tiga negara lagi yang enggan didedahkan.
Misbun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk itu memutuskan pada 28 Julai lalu untuk menamatkan kontrak Misbun lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Keputusan berkenaan berkuatkuasa 1 Ogos selepas mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang mana kontrak Misbun seharusnya tamat pada Disember. – Hmetro Online –
IMEDIKEL TV






