Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan pengguna media sosial agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan, khususnya sepanjang musim pilihan raya.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia mesti dizahirkan secara sopan, berhemah dan tidak melanggar undang-undang.
“Platform digital perlu digunakan sebagai saluran untuk menyebar maklumat yang sahih dan membina, bukan tempat menabur kebencian, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara,”menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan bahawa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melarang penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap agama, kaum atau Institusi Diraja (3R), serta kandungan lucah, palsu, mengancam atau jelik melampau.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,”jelas kenyataan itu.
MCMC menegaskan bahawa tindakan tegas termasuk siasatan dan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
IMedikel TV






