KUALA LUMPUR: Kontroversi babitkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menggantung dan mendenda tujuh pemain warisan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nyata menarik perhatian peminat bola sepak serta seluruh rakyat di negara ini.
Malah, ia turut menarik perhatian masyarakat dunia yang mengikuti rapat susulan hukuman dikenakan FIFA apabila mendakwa FAM menyerahkan dokumen palsu bagi mengaburi badan induk dunia itu yang sebelum ini memberi lampu hijau buat tonggak berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, begitupun, bekas pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi atau dikenali Mat Don tampil mempertahankan FAM di media sosial, sambil menyeru agar semua penyokong skuad Harimau Malaya berdiri teguh di belakang pengurusan pasukan dan tujuh pemain warisan negara itu.
“Sebagai seseorang yang pernah dengan bangga menyarung jersi Malaysia dan mendedikasikan diri untuk negara ini, saya tidak boleh berdiam diri ketika saat genting ini.
“Apa yang sedang berlaku sekarang dengan keputusan mengejut FIFA terhadap skuad kebangsaan bukan sahaja tidak adil, malah ia satu bentuk ketidakhormatan kepada Malaysia, kepada pemain kita, kepada penyokong kita, dan juga kepada usaha bertahun-tahun yang sudah dilakukan dengan penuh ketelusan serta mengikut setiap peraturan.
“Malaysia sudah melakukan semuanya dengan betul. Setiap dokumen, setiap prosedur, setiap langkah sudah dipatuhi dengan kerjasama kerajaan, FAM dan FIFA sendiri. Pemain ini juga sudah pun diluluskan. Tetapi kini, tiba-tiba keputusan berubah? Kenapa? Oleh siapa?
“Ini bukan lagi soal kertas kerja. Ini soal maruah, soal integriti, soal sebuah negara yang sedang bangkit, dan kini ada pihak tertentu yang takut dengan kebangkitan Harimau Malaya.
“Dan jangan kita lupakan, semua kemajuan ini tidak akan tercapai tanpa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail. Saya secara peribadi tahu betapa besar usaha yang baginda curahkan terhadap liga kita dan juga pasukan kebangsaan. Visi dan kepimpinan baginda telah membawa bola sepak Malaysia ke tahap sekarang.
“Namun, apa yang paling menyedihkan saya ialah apabila melihat dalam saat seperti ini, kita tidak sentiasa bersatu sebagai sebuah negara. Ini bukan masa untuk berpecah. Inilah masanya untuk semua – pemain, penyokong, media, kerajaan – berdiri bersama. Jika kita sendiri tidak mempertahankan pasukan kita, siapa lagi yang akan melakukannya?
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, inilah masanya untuk kita bersatu padu. Sokonglah pemain kita, sokong pasukan kita, sokong bendera kita. Kita tidak akan tunduk kepada ketidakadilan. Kita tidak akan biarkan tekanan luar menghentikan kebangkitan Malaysia.
“Kita lawan bersama kerana kita adalah Malaysia. Berani kerana benar”. – HMetro Online –
IMedikel TV






