Home Buletin Semasa PENERIMA STR MULA TEBUS SUBSIDI PETROL RON95 MELALUI PROGRAM BUDI95

PENERIMA STR MULA TEBUS SUBSIDI PETROL RON95 MELALUI PROGRAM BUDI95

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Rata-rata penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menebus subsidi petrol RON95 menerusi Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang ditawarkan bermula hari ini.

Tinjauan IMedikel TV di sebuah stesen minyak di Panji, di sini, mendapati ramai orang awam menggunakan MyKad masing-masing untuk menebus subsidi tersebut semasa mengisi minyak.

Menurut seorang pengguna, Awie, 55, dari Panji, dia menyambut baik inisiatif BUDI95 dan menyifatkannya sebagai satu bantuan yang dapat meringankan beban kos sara hidup harian.

“Saya rasa teruja dengan inisiatif ini, sudah beberapa kali saya cuba guna ketika mengisi minyak, tapi hari ini baru berjaya tebus.

“Mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, namun tanpa disedari kita boleh mendapat lebih jumlah liter petrol pada harga RM1.99 sen,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Panji, di sini hari ini.

Seorang pesara, Hashim Che Soh, 68, pula berkata dia sudah menebus subsidi BUDI95 sebanyak dua kali.

“Hari ini saya isi petrol kereta Axia RM30 dengan menebus BUDI95, saya rasa sangat berbaloi dan jimat,” katanya.

Sementara itu, Suhaili Che Halim, 51, dari Kampung Telok, di sini berkata proses penebusan amat mudah kerana hanya memerlukan penggunaan MyKad sahaja.

“Namun saya harap sistem ini akan terus dipertingkatkan supaya tiada masalah teknikal berlaku di sesetengah lokasi,” katanya.

Namun begitu, seorang pekerja stesen minyak dikenali sebagai Zura memaklumkan ada pengguna yang tidak layak kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Ada yang cuba tebus tetapi ada yang mempertikai kenapa mereka tidak layak namun ada juga yang faham,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa inisiatif berkenaan menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini.

Setiap individu layak menebus subsidi sehingga 300liter sebulan, tertakluk kepada pemilikan MyKad dan lesen memandu aktif.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here