Home Hiburan ANNA JOBLING BAWA CABARAN MALAYSIA KE SEOUL

ANNA JOBLING BAWA CABARAN MALAYSIA KE SEOUL

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Anna Jobling, 25, akan berangkat ke Seoul, Korea Selatan esok untuk membawa cabaran negara dalam Seoul International Drama Awards (SDA) 2025.

Memetik laporan Harian Metro, pencalonan Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia, bukan saja membawa harapan peribadi, malah semangat jutaan peminat yang sentiasa menyokong langkahnya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan TV3, Anna kini mendahului carta undian dan pencalonannya dalam kategori ini menjadi bukti nyata terhadap bakatnya yang semakin bersinar.

“Pengiktirafan di pentas berprestij antarabangsa ini membuka lembaran baru dalam kariernya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Anna sebagai antara bintang muda paling berpengaruh di rantau ini.

“Anna yang mencipta fenomena melalui lakonannya dalam drama popular Melur Untuk Firdaus, tercalon melalui drama Hai Cinta, Dengarkanlah sehingga berjaya mencuri perhatian bukan saja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.

“Populariti drama terbabit di platform penstriman Tonton melonjakkan lagi gelombang sokongan sehingga Anna berjaya mendahului carta undian,” kata kenyataan itu.

Setiap undi yang diberikan bagaikan denyut nadi penyokong yang mahu melihat Anna menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Anna berkata, perasaan gembiranya dengan pencalonan ini sukar digambarkan.

“Saya benar-benar terharu dengan sokongan luar biasa daripada semua peminat. Pencalonan ini adalah hadiah terbesar buat saya dan saya amat bersyukur dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya harap semua akan terus mendoakan dan menyokong saya, kerana kemenangan ini bukan saja untuk saya tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.” katanya.

Dia juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaannya serta memastikan undian tidak terhenti sehingga malam kemuncak.

Setiap undian dan doa amat bermakna dalam membawa pulang kemenangan buat negara.

Bagi meraikan pencapaian ini, Tonton menghadiahkan penonton dengan promosi eksklusif Koleksi Pujaan Hati, langganan Tonton dengan harga istimewa hanya RM20 untuk tiga bulan melalui kod diskaun eksklusif ‘ANNAJOBLING’ yang membolehkan peminat menonton kesemua drama lakonan Anna.

Kempen ini juga menjadi jambatan buat peminat untuk terus menyokong perjalanan Anna Jobling dari kaca skrin tempatan hingga ke pentas dunia.

Seoul International Drama Awards 2025 bakal berlangsung Khamis ini Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.

Majlis anugerah ini akan menyaksikan Anna berdiri sebaris dengan bintang-bintang besar Asia. Acara terbabit turut disiarkan secara langsung di YouTube pada 2 Oktober 2025 dan akan ditayangkan pada 3 Oktober 2025, jam 6 petang (waktu Korea), melalui siaran SBS TV. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here