Home Buletin Semasa MASJID MAHMUDI MELOR PERLU DANA RM4.7 JUTA UNTUK NAIK TARAF AKIBAT TERJEJAS...

MASJID MAHMUDI MELOR PERLU DANA RM4.7 JUTA UNTUK NAIK TARAF AKIBAT TERJEJAS BANJIR

221
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir akhir November tahun lalu memerlukan dana RM4.7 juta untuk kerja naik taraf bertujuan memastikan jemaah dapat beribadah dengan selesa.

Imam Tua masjid berkenaan, Wan Ziadul Khair Wan Mustafha berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima sumbangan derma kira-kira RM200,000 sejak dana mula dilancarkan bermula November tahun lalu.

“Perkara paling ketara dihadapi apabila air naik hingga paras betis di dalam masjid menyebabkan kerosakan teruk pada permaidani dan almari, dalam setahun ada sampai dua kali setahun.

“Kerugian menukar permaidani terpaksa ditanggung dan setelah sebulat suara berbincang bersama jawatankuasa atasan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), kami menaik taraf masjid ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, di sini.

Tambahnya usaha naik taraf tersebut melibatkan projek-projek meninggikan paras lantai sehingga 1.8 meter, melepasi paras air berikutan masjid tersebut terletak hanya 150 meter dari Sungai Melor, dengan keluasan lebih 0.1 hektar.

Beliau berkata kerja perobohan masjid tertua di Melor itu sudah bermula seawal Dis tahun lepas melibatkan bahagian bangunan lama yang dibina sejak 1959.

Menurutnya masjid itu terletak antara dua pembangunan jalan melibatkan Projek Menaiktaraf Laluan FT 003 dari Persimpangan Melor-Ketereh ke Kampung Pak Badol (KM19.75-KM 2305), juga berhampiran dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pihak masjid mengadakan pelbagai usaha bagi kutipan derma, antaranya hebahan di media sosial dan penjualan 11,500 lot dengan nilai satu lot sekaki RM400, yang mana setakat ini sudah terjual 500 lot.

“Mengikut pelan daripada kontraktor dilantik, masjid ini berkonsepkan senibina kontemporari dan sekiranya dana mencukupi, dengan mengambil kira kemudahan serta keselesaan jemaah, kami bercadang membina kelengkapan fasiliti berteknologi tinggi termasuk adanya tangga bergerak (escalator) bagi memudahkan warga emas serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sementara itu, Bendaharinya, Ahmad Fauzi Mustapha berkata, masjid itu bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat pengajian agama dan aktiviti kebajikan bagi masyarakat setempat.

“Setiap hari ada kelas pengajian dan kuliah agama dan ia juga menjadi tempat utama untuk aktiviti berbuka puasa serta solat tarawih ketika Ramadan, namun kali ini hanya menggunakan khemah dan bangunan muslimat buat sementara waktu pembinaan,” katanya. Katanya masjid berkenaan diharap terus menjadi simbol perpaduan masyarakat di kawasan setempat dan usaha baik pulih yang dijalankan, juga dapat memastikan ia kekal sebagai pusat ibadah serta pengajian agama untuk generasi akan datang.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atau infaq melalui akaun Bank Islam 03018010067089 atas nama Masjid Mahmudi Melor.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here