Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Kerajaan telah memperkenalkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai inisiatif untuk membantu orang ramai membeli barangan keperluan.
Seorang suri rumah, Nurul Atiqah Mohd Azhar, 37 dari Kampung Semerak berkata dia agak terkilan kerana bantuan SARA yang diperuntukkan kepada penerima hanya boleh digunakan untuk membeli barang-barang tertentu.
“Barangan tertentu yang tersenarai untuk dibeli dengan duit bantuan itu agak tinggi harganya menyebabkan jumlah barang yang boleh dibeli dengan RM100 sangat terhad.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kerajaan cakna dengan kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Jelajah eKasih@Pasir Puteh, di Tok Bali, di sini, hari ini.
Ujar Nurul Atiqah, dia adalah salah seorang penerima bantuan SARA iaitu memperoleh RM100 sebulan selama setahun.
“Sebelum ini, saya menggunakan duit tersebut untuk beli beras, minyak masak dan sardin,” katanya.
Terdahulu, Belanjawan 2025 menyaksikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA apabila RM13 bilion diperuntukkan kerajaan untuk tahun depan berbanding hanya RM10 bilion sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata, pada tahun hadapan, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA bernilai RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.
“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April depan.
“Ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara,” katanya.
IMedikel TV






