Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi program Go to Global.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata program itu membabitkan 176 usahawan Bumiputera dalam usaha memperkukuh kehadiran produk tempatan di pasaran antarabangsa.
Katanya sasaran itu selari dengan komitmen agensi berkenaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berdaya saing.
“Program seperti himpunan usahawan di negeri Johor ini memang seiring dengan agenda besar kita, kerana antara gagasan Besar Negeri Johor juga adalah bukan sahaja sebagai sebuah negeri maju, tetapi yang paling penting komponen paling besar adalah Pembangunan Usahawan.
“Ia adalah satu komponen teras kepada Mara adalah usahawan-usahawan bumiputera.
“Kita mahu usahawan-usahawan bumiputera Johor tidak ketinggalan dalam usaha Kerajaan negeri dalam merencanakan maju Johor 2026 hingga 2030 ini. Mereka mesti membabitkan diri dengan lebih aktif dan MARA bersedia untuk menjadi agensi yang akan memantau dan membimbing bukan sahaja sekadar membiayai mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Himpunan Usahawan Negeri Johor di Persada Johor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf Wajdi berkata, antara pendekatan paling berkesan membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan ialah menerusi sesi padanan perniagaan (business matching) yang diadakan dalam program berkenaan.
Katanya sesi itu menghimpunkan usahawan pelbagai peringkat, termasuk mikro, kecil dan sederhana, bagi membolehkan mereka membina rangkaian kerjasama strategik serta saling melengkapi dalam rantaian perniagaan.
“Matlamat kita ialah memastikan setiap usahawan dapat berkembang ke peringkat seterusnya. Cara paling berkesan ialah mereka bekerjasama antara satu sama lain.
“Manakala MARA akan menjadi payung kepada mereka dengan MARA Corp bertindak sebagai pemacu kepada usaha berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Asyraf Wajdi berkata, MARA kini memberi penekanan terhadap usaha pengantarabangsaan usahawan dengan kejayaan mendapatkan kelulusan untuk memasarkan produk usahawan bimbingannya menerusi rangkaian pasar raya LuLu di negara Arab.
Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan 342 unit penyimpanan stok (SKU) produk usahawan MARA dengan nilai pasaran melebihi AS$100 juta.
“Terbaru sukacita saya nak mengumumkan kita sudah pun mendapat kelulusan daripada satu syarikat antarabangsa yang ada rangkaian outlet di seluruh Negara Arab iaitu Lulu dengan SKU kita berjumlah 342 SKU, dan nilainya lebih daripada AS$100 juta.
“Ini adalah usahawan-usahawan yang kita gemblengkan daripada MARA dan kita telah pun berjaya mendapatkan tempat untuk produk-produk ini dijual di seluruh Middle East di Timur Tengah.
“Ia sekali gus membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk dipasarkan di seluruh Timur Tengah,”katanya.
IMedikel TV






