Home Buletin Semasa MANGSA CULIK DISELAMATKAN KURANG 48 JAM, ENAM SUSPEK DITAHAN

MANGSA CULIK DISELAMATKAN KURANG 48 JAM, ENAM SUSPEK DITAHAN

6
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seorang mangsa culik untuk wang tebusan RM7 juta dalam tempoh kurang 48 jam serta menahan enam individu dalam operasi khas di I-City, Shah Alam, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi itu dijalankan oleh JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor.

“Polis menerima laporan pada jam 1.30 pagi, 17 Julai lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 46 tahun yang memaklumkan suaminya diculik sebelum suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.

“Susulan laporan itu, satu operasi khas dilancarkan dan pada kira-kira jam 1 pagi, 18 Julai, mangsa berjaya diselamatkan di sebuah unit kediaman di kawasan I-City, Shah Alam,” katanya.

“Operasi sama membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun,”katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis dadah, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.

“Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara minimum 30 tahun dan boleh sehingga 40 tahun termasuk sebatan. 

“Selain itu, siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 turut dijalankan ke atas semua individu yang ditangkap. 

“Mahkamah membenarkan permohonan reman selama 10 hari bermula semalam terhadap kesemua suspek di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bagi membantu siasatan,”katanya.

Beliau berkata, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, termasuk motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada PDRM dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here