Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JELI: Operasi pemindahan seekor harimau di Kampung Baru, Kuala Balah berjaya dilaksanakan dengan selamat hasil kerjasama erat antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus memastikan keselamatan penduduk setempat terus terpelihara.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Polis Daerah Jeli, anggota Balai Polis Kuala Balah melaksanakan tugas Jaga Aman sepanjang operasi pemindahan haiwan liar itu dijalankan.
“Sepanjang operasi, anggota polis bertanggungjawab mengawal kelancaran lalu lintas, membantu pihak PERHILITAN dalam memastikan proses pemindahan harimau berjalan dengan selamat dan teratur serta mengawal keselamatan penduduk di kawasan terbabit,”menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik antara PDRM, PERHILITAN dan komuniti setempat mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam menjaga keselamatan awam, di samping menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar di negara ini.
Polis Daerah Jeli turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi berkenaan sehingga berjaya diselesaikan dengan lancar.
IMedikel TV






