Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,752 orang daripada 696 keluarga setakat jam 9.00 pagi ini,
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Tumpat seramai 705 orang daripada 296 keluarga, Bachok 597 orang daripada 182 keluarga manakala 450 mangsa banjir daripada 218 keluarga di Kota Bharu.
“Setakat ini sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di daerah Kota Bharu iaitu Sekolah kebangsaan (SK) Sering, Sekolah Menengah Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong dan SK Sabak, di daerah Tumpat termasuk SK Pengkalan Kubor 2, SK Seri Tumpat 2 dan SK Kubang Batang, manakala di daerah Bachok iaitu SK Pauh Sembilan, SK Jelawat dan SK Pa’Pura,”menurut InfoBencana JKM.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk bagi lima daerah di Kelantan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh hingga esok.
Amaran hujan berterusan tahap waspada juga membabitkan kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) hingga esok.
Manakala amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan kawasan di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai & Gua Musang) dan Terengganu hingga Rabu ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1- 300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.
IMedikel TV






