RABAT: Sadio Mane yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Senegal menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), meraikannya bersama isteri dan anaknya.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Mane dilihat bergambar bersama Aisha Tamba, 20, dan anak pertama mereka selepas final dramatik itu.
Mane menikmati penampilan terakhirnya di kejohanan benua selepas mengumumkan AFCON 2025 akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas ini.
Senegal menewaskan Maghribi 1-0 dalam masa tambahan dalam salah satu final paling dramatik dalam sejarah bola sepak, awal pagi semalam.
Pengendalinya, Pape Thiaw mengarahkan pemain keluar padang sebagai bantahan terhadap sepakan penalti lewat diberikan kepada Maghribi, hanya beberapa minit selepas Senegal melihat jaringan mereka dibatalkan.
Berlaku kelewatan hampir 16 minit antara keputusan penalti dan sepakan yang diambil, dengan berlaku kekecohan antara penyokong dan pasukan polis di Rabat.
Mane memainkan peranan penting memastikan perlawanan diteruskan apabila beliau mengajak rakan sepasukannya kembali ke padang.
Bintang Maghribi, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti Panenka dan Senegal akhirnya muncul juara menerusi rembatan menakjubkan Pape Gueye dalam masa tambahan.
Bekas pemain Liverpool itu dinobatkan Pemain Terbaik Kejohanan selepas final, selain dipuji kerana peranannya meyakinkan pasukannya untuk meneruskan perlawanan.
Ini adalah kemenangan AFCON kedua Mane, 33, selepas turut menjadi sebahagian daripada skuad Senegal yang menang pada edisi 2019.
Selepas kejayaan itu, Mane diraikan di bilik persalinan Senegal bersama Tamba dan anak mereka.
Mane berkahwin dengan Tamba pada 2024 di Keur Massar, Dakar, hanya enam hari sebelum permulaan AFCON 2024.
Tamba masih seorang pelajar ketika mereka bertemu, namun Mane dikatakan berjanji akan mengahwininya sebaik sahaja mula berkenalan.
Anak sulung mereka dilahirkan Mac tahun lalu, 14 bulan selepas perkahwinan.
Mane dibenarkan menjulang trofi oleh kapten Senegal, Kalidou Koulibaly sebagai penghargaan terhadap penampilan terakhirnya di AFCON dan legasinya yang cemerlang dalam bola sepak Afrika.
Legasi Mane diperkukuh lagi apabila beliau berjaya meyakinkan pasukan Senegal meneruskan aksi final.
Dalam kenyataan selepas perlawanan, Mane berkata, beliau lebih rela kalah daripada memberikan imej buruk kepada bola sepak Afrika.
“Bola sepak sesuatu yang istimewa, seluruh dunia menonton, dunia cintakan bola sepak dan saya fikir kita mesti memberikan imej baik untuk bola sepak.
“Saya fikir tidak bermain perlawanan ini kerana pengadil memberikan penalti dan kita keluar, itu akan gila.
“Saya fikir itu akan menjadi perkara paling buruk terutama dalam bola sepak Afrika.
“Saya lebih rela kalah daripada perkara sebegini berlaku pada bola sepak kita. Bola sepak tidak sepatutnya berhenti walaupun 10 minit, tapi apa boleh kita buat?
“Kita terima apa yang berlaku, yang penting kita kembali dan main perlawanan itu,” kata Mane. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






