MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui Manchester City tidak boleh memikirkan soal mengejar Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas rentetan tanpa kemenangan mereka berlanjutan kepada tiga perlawanan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pasukan kendalian Guardiola mensia-siakan peluang untuk memberi tekanan kepada Arsenal apabila diikat 1-1 oleh Brighton di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Erling Haaland meledak gol ke-150 bersama City menerusi sepakan penalti lewat babak pertama, namun penyerang Norway itu juga mensia-siakan beberapa peluang keemasan, dengan Bernardo Silva dan Rayan Cherki turut gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.
Dibelenggu kecederaan beberapa pemain pertahanan, City akhirnya goyah pada separuh masa kedua apabila jaringan Kaoru Mitoma – gol pertamanya sejak September – memberikan tamparan hebat terhadap harapan City untuk merangkul kejuaraan liga.
City yang berada di tempat kedua, kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, yang boleh melebarkan jurang kepada lapan mata sekiranya menewaskan Liverpool di Stadium Emirates, awal pagi esok.
“Sudah tentu jika kami tidak menang perlawanan, kami tidak boleh memikirkan perkara-perkara seperti itu,” kata Guardiola apabila ditanya sama ada City masih bersaing dalam pemburuan gelaran.
Guardiola turut meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan City menyudahkan peluang, selepas Brighton menyertai Chelsea dan Sunderland menyekat pasukannya sepanjang tiga perlawanan terakhir.
“Keputusan tetap keputusan. Saya bukan jenis orang yang percaya apa yang berlaku itu tidak adil. Satu mata untuk mereka, satu mata untuk kami. Itu sahaja.
“Saya sangat menyukai cara kami bermain, banyak perkara positif kami lakukan, tetapi kami tidak menjaringkan gol. Terlalu banyak peluang terlepas.
“Ia bukan hanya seorang atau dua pemain, semua pemain di bahagian serangan mencipta peluang. Malangnya kami gagal menjaringkan gol dan menjaringkan gol adalah sebahagian daripada tugas mereka.
“Itulah sebabnya kami tidak mampu memenangi perlawanan ini,” katanya. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






