Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Malaysia menekankan kepentingan kerangka industri mineral yang lestari pada sesi meja bulat peringkat menteri pada “Future Minerals Forum 2025 (FMF25)” di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerangka mineral mempunyai peranan penting dalam peralihan tenaga dan kemajuan teknologi.
“Di samping itu, saya juga menekankan keperluan untuk dunia menangani ketegangan geopolitik bagi memanfaatkan teknologi terbaik pada kos yang lebih rendah.
“”FMF25 menerima lebih 20,000 peserta dan menampilkan 250 ahli panel menerusi lebih 70 sesi.
“Ia menekankan peranan pentingnya dalam membincangkan mengenai mineral kritikal, pengurusan sumber mineral, tenaga boleh baharu, perlombongan lestari dan mempromosikan integrasi dalam industri mineral secara serantau dan global,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang berlangsung FMF25, beliau berpeluang melawat King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST) serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Bandar Alkhorayef dan ditemu bual beberapa agensi media antarabangsa.
“Saya turut berkongsi antaranya mengenai dasar pembangunan mineral negara, persaingan geopolitik dunia, cabaran pembangunan industri mineral, sumbangan industri kepada matlamat peralihan tenaga dan kemajuan teknologi, serta keperluan untuk penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri mineral,”katanya.
Nik Nazmi berkata melihat kepada kejayaan dan sambutan yang luar biasa FMF pada kali ini serta faedah kepada negara-negara yang menyertai, beliau meminta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengkaji kesesuaian Malaysia untuk turut serta dalam pameran di FMF akan datang.
IMedikel TV






