Home Buletin Semasa MALAYSIA PERKUKUH KOMITMEN TEKNOLOGI PENYEJUKAN LEBIH MAMPAN SEMPENA HARI OZON SEDUNIA 2026

MALAYSIA PERKUKUH KOMITMEN TEKNOLOGI PENYEJUKAN LEBIH MAMPAN SEMPENA HARI OZON SEDUNIA 2026

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Ozon Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan memperkukuh komitmen Malaysia dalam melindungi lapisan ozon dan menangani perubahan iklim.

Sambutan yang berlangsung di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Azuri Azizah Saedon.

“Bertemakan “Global Action for a Cooler Planet: Celebrating 10 Years of Sustainable Cooling under the Kigali Amendment to the Montreal Protocol”, sambutan tahun ini menandakan sedekad Pindaan Kigali yang menitikberatkan pengurangan hidrofluorokarbon (HFC) berpotensi pemanasan global tinggi.

“Ia turut mempercepatkan peralihan kepada teknologi penyejukan yang mampan dan cekap tenaga.” menurut kenyataan itu JAS semalam.

Menurut kenyataan itu, sejak meratifikasi Protokol Montreal pada 1989, Malaysia berjaya menghentikan penggunaan CFC dan Halon sepenuhnya pada 2010 serta mengurangkan hampir 80 peratus penggunaan HCFC.

“Pengurangan itu disasarkan kepada penghapusan penuh menjelang 2030 menerusi HPMP III dan Pelan Pelaksanaan Kigali Peringkat I.

“Pencapaian berkenaan hasil kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, rakan pembangunan antarabangsa, institusi berkaitan serta masyarakat dalam memastikan obligasi Malaysia di bawah Protokol Montreal dan Pindaan Kigali dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Malaysia turut memperkukuh kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan Pengurusan Kitar Hayat Bahan Penyejuk (LRM) bagi mencegah pelepasan gas berbahaya serta merangsang ekonomi kitaran,” kata JAS.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga memperkasakan tadbir urus dan kompetensi industri menerusi penambahbaikan dasar, perundangan dan panduan teknikal untuk juruteknik.

“Kejayaan pelaksanaan Protokol Montreal dan Pindaan Kigali memerlukan komitmen menyeluruh daripada industri, institusi latihan, masyarakat serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan peralihan yang mampan dan berkesan.

“Orang awam turut memainkan peranan penting dalam melindungi lapisan ozon dan iklim menerusi amalan mampan seperti memilih peralatan penyejukan mesra alam dan cekap tenaga.

“Mereka juga disaran mendapatkan khidmat penyelenggaraan daripada juruteknik bersijil JAS (CSTP), memastikan pelupusan bahan penyejuk dilakukan dengan betul serta mengamalkan penjimatan tenaga secara konsisten,” menurut JAS.

JAS akan terus memastikan dasar, pelan dan strategi berkaitan penghapusan HCFC serta pengurangan HFC dilaksanakan secara berkesan melalui kerjasama semua pihak berkepentingan.

Pada masa sama, aspek perundangan, pematuhan dan penguatkuasaan berkaitan bahan penyejuk akan terus diperkukuh selaras dengan perkembangan teknologi serta obligasi Malaysia di bawah Protokol Montreal.

“Sambutan Hari Ozon Sedunia 2026 bukan sekadar meraikan pencapaian lalu, tetapi menjadi peringatan bahawa usaha melindungi lapisan ozon dan menangani perubahan iklim perlu diteruskan secara berterusan,” kata JAS.

JAS menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dan mengamalkan pengurusan bahan penyejuk serta penggunaan teknologi penyejukan yang cekap dan mampan demi alam sekitar yang lebih bersih, sihat dan lestari untuk generasi akan datang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here