Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan sebanyak 7,325 kilogram (kg) abu al-Quran dan bahan yang mengandungi ayat al-Quran rosak diperairan Kuantan, kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, program pelupusan kali ini mendapat kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyediakan kemudahan kapal KD Terengganu serta anggota Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, di sini.
Menurutnya, proses pelupusan dilakukan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang yang mengambil masa lebih lima jam.
Katanya, abu berbentuk bongkah tersebut merupakan hasil daripada proses pembakaran 30,000kg teks dan bahan al-Quran rosak yang telah dilaksanakan di Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang, Chenor dan Pusat Pemuliaan Al-Quran JAIP, Pekan.

“Program yang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan pelupusan bahan al-Quran yang rosak atau tidak lagi boleh digunakan dilakukan dengan cara yang teratur, penuh tertib serta memelihara kesucian kalam Allah SWT.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JAIP dengan kerjasama TLDM dalam memartabatkan pengurusan bahan al-Quran secara beradab dan berlandaskan syariat. Program kali pertama diadakan tahun ini berjalan lancar,” katanya yang turut sama menyertai program berkenaan.
Hadir sama pada program itu Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md Zain dan Panglima Markas Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azman Rabani.
Noridzuan berkata, hampir setiap setiap pihaknya mengadakan program pelupusan abu al-Quran dan bahan yang mengandungi ayat al-Quran rosak diperairan negeri ini, apabila mencapai jumlah berat ditetapkan acara berkenaan diadakan.
“Sudah menjadi tanggungjawab JAIP untuk membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak bagi menjaga kemuliaan al-Quran daripada dibuang di tempat tidak sepatutnya.
“Bagi membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran milik individu, mereka boleh menghantarnya ke pusat pemuliaan al-Quran JAIP Peramu dan Chenor tanpa dikenakan bayaran,” katanya.
IMedikel TV






