Home Buletin Semasa MALAYSIA MAHU JADI TUAN RUMAH TERBAIK

MALAYSIA MAHU JADI TUAN RUMAH TERBAIK

158
0

KUALA LUMPUR: Kejohanan hoki Piala Dunia Remaja 2023 hanya berbaki kurang enam bulan saja lagi dan bagi tuan rumah, Malaysia sudah bersedia untuk penganjuran berprestij itu yang bakal membuka tirainya bermula 5 Disember ini.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, persediaan sudah mencapai 68 peratus dan mereka sedang giat untuk menjadikan ia sebagai satu kejohanan yang memuaskan hati seluruh negara peserta mengambil bahagian.

“Saya boleh katakan persiapan sekitar 68 peratus. Sebab kami masih lagi perlu memutuskan beberapa perkara seperti tempat tinggal dan pengangkutan. Semua ini perlu diputuskan bersama dengan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa).

“Perkiraan kami untuk persiapan kejohanan ini adalah lima bulan lagi walaupun sebenarnya masih berbaki enam bulan,” katanya pada sidang media hari ini bagi mengumumkan kejohanan Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) yang akan berlangsung dari 3 sehingga 19 Ogos ini.

Anil turut menjelaskan, selepas perbincangan bersama pihak FIH, hanya satu padang akan digunakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi kejohanan Piala Dunia Remaja yang disertai 16 pasukan antaranya seperti Australia, Belanda, Jerman, Sepanyol, India dan Pakistan.

“Kami memang ada mencadangkan beberapa (venue) tapi dalam mesyuarat bersama FIH, mereka putuskan untuk bermain di Bukit Jalil saja. Mungkin kebanyakan pasukan tidak mahu mengharungi jarak perjalanan yang jauh dan mahu mahu fokus di satu tempat saja,” katanya.

Dalam pada itu, Anil turut memaklumkan TNBMJHL edisi 2023 akan menampilkan 45 pasukan lelaki dan wanita dengan 136 perlawanan akan dilangsungkan untuk edisi tahun ini.

Anil turut memaklumkan sebanyak lima venue pertandingan akan digunakan bagi edisi kali ini iaitu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki Pantai (Kuala Lumpur), Stadium Hoki KPM (Kuala Lumpur), Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

Sumber BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here