MONACO: Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles membuat penampilan sulung musim ini dalam acara 200 meter dengan kemenangan bergaya ke atas juara Olimpik, Letsile Tebogo pada kejohanan Liga Berlian Monaco awal pagi tadi.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kempen Lyles sebelum ini terganggu akibat kecederaan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kemampuannya mempertahankan gelaran dunia 200m di Tokyo pada September depan.
Namun juara dunia tiga kali itu membalas kritikan dengan persembahan meyakinkan.
Dalam pertembungan semula yang dinantikan selepas insiden Lyles dijangkiti COVID-19 sejurus tewas kepada Tebogo di Paris tahun lalu, kedua-dua pelari kelihatan seimbang memasuki selekoh terakhir.
Namun Lyles menjarakkan diri dalam 50m terakhir untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 19.88 saat, manakala Tebogo dari Botswana meraih tempat kedua dengan 19.97s.
“Saya sengaja ‘membakar diri’ untuk pertemuan semula ini dengan Tebogo,” kata Lyles.
“Saya tidak berasa tertekan langsung. Tiada sebab untuk meletakkan tekanan pada diri sendiri. Inilah yang saya cintai untuk lakukan.”
Sebagai juara bertahan, Lyles tidak perlu mengharungi kejohanan kelayakan AS hujung bulan ini dan akan meneruskan persiapan dengan beraksi dalam acara 100m di London minggu depan.
“Saya akan ke Liga Berlian London. Saya benar-benar rindukan saingan beberapa minggu ini.
“Saya menonton kejohanan di Prefontaine dan amat teringin untuk berada di sana, tetapi pasukan mahu pastikan saya benar-benar cergas dan bersedia sepenuhnya untuk bersaing,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






