KUALA LUMPUR: Pelakon Liza Abdullah mengambil pendekatan tidak terlalu berkongsi hal peribadi kepada umum, terutama mengenai urusan jodoh.
Memetik laporan Berita Harian, Liza atau nama sebenar, Norliza Abdullah, 61, yang sudah lebih sedekad bergelar ibu tunggal berkata, hal peribadi menjadi perkara begitu sensitif untuk dihebahkan.
“Prinsip saya memang tidak suka kongsi cerita peribadi dari dahulu. Bagi saya, soal ini sangat sensitif sebab saya ada anak-anak dan keluarga.
“Orang juga akan berkata macam-macam. Apabila ada suami dahulu, orang kata sudah bercerai. Kemudian apabila kita sudah bercerai, orang kata sudah berkahwin pula.
“Mungkin ada sesetengah orang rasa okay. Tetapi, saya tidak begitu selesa sebab orang suka buat andaian sendiri. Ini termasuk kawan yang mungkin dengar cerita itu dari orang lain,” katanya ditemui pada sidang media teater Cik Ros di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara, baru-baru ini.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang akan memberi impak negatif kepada diri dan keluarga, terutama dalam era media sosial sekarang.
“Kalau perkara itu untuk kebaikan tidak ada salahnya. Tetapi andai perkara yang kita hendak cerita tidak datangkan kebaikan, tak perlulah. Ada perkara kita boleh kongsi dan ada yang tidak boleh,” katanya.
Liza mengakui bahagia dengan kehidupan sekarang bersama anak-anak.
“Sekarang banyak perkara menakutkan. Kalau terlepas cakap dalam media sosial, memang tidak boleh tarik balik,” katanya.
Liza mendirikan rumah tangga dengan Zolkefli Abdulah Rahman, namun, bercerai pada 2014, iaitu selepas 26 tahun berkongsi hidup.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq, 36; Nurwafiez Syahiddah, 32; Zulsyahmi Naqib, 23, dan Zulsyahmi Afif, 21.
Dalam perkembangan lain, Liza terbabit dalam Teater Cik Ros, iaitu pementasan ‘tribute’ kepada tokoh seni persembahan terkenal, Allahyarham Dr Rosminah Mohd Tahir yang akan berlangsung tiga hari di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara, mulai 19 September ini.
Teater arahan adik Allahyarham Rosminah, iaitu Hamzah Tahir menampilkan barisan pelakon lain seperti Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Ziela Jalil, Juhara Ayob, Amy Mastura dan ramai lagi. – BH Online –
IMedikel TV






