LONDON: Myles Lewis-Skelly sudah pun menjadi aset untuk England dan mempunyai karier cerah pada masa depan, kata pemain tengah, Declan Rice selepas pemain berusia 18 tahun itu menjadi penjaring termuda dalam penampilan sulungnya bersama skuad senior kebangsaan, semalam.
Lewis-Skelly membuka jaringan untuk England pada minit ke-20 ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Albania dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K kelayakan Piala Dunia di Wembley.
Produk akademi Arsenal itu menerima panggilan pertama ke skuad England selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab London Utara itu.
“Minggu demi minggu dia menunjukkan betapa bagusnya dia serta keberanian dalam permainannya,” kata Rice kepada media Britain mengenai rakan sepasukannya di Arsenal.
“Itu bergantung kepadanya sendiri – sejauh mana dia menginginkannya dan sejauh mana dia mahu terus maju. Dia perlu sentiasa dahagakan kejayaan setiap hari.
“Dia perlu kekal menjadi dirinya sendiri di pusat latihan Arsenal, bersama England dan terus mendorong dirinya.
“Dia kini menjadi aset untuk kami. Baru berusia 18 tahun dan mempunyai kerjaya yang panjang dalam bola sepak jika terus melakukan perkara yang baik.
“Dia sendiri pun tidak tahu bahawa dia akan membarisi kesebelasan utama dan saya sudah tahu dia akan memberikan persembahan yang terbaik kerana dia mempunyai keyakinan terhadap dirinya sendiri,” katanya lagi.
Pengurus baharu England, Thomas Tuchel, turut gembira dengan penampilan sulung pemain muda itu.
“Dia penuh dengan keyakinan, sangat bersahaja serta mempunyai keperibadian yang matang dan terbuka.
“Apa yang anda lihat di atas padang adalah sama seperti di luar padang… Dia melakukannya dengan cukup yakin dan begitulah cara dia bermain bola sepak,” kata pengendali dari Jerman itu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






