Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mengesan lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal Tasek Bera kini diteroka secara haram dengan tanaman kelapa sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali, berkata pihaknya memandang serius kejadian yang berlaku dan usaha menyekat serta membongkar kegiatan berkenaan kini sedang giat dilakukan menerusi operasi bersepadu Hutan Simpan Kekal Tasek Bera selama sebulan bermula 14 September lalu.
Menurutnya, Hutan Simpan Kekal Tasek Bera diwartakan di bawah Konvensyen Ramsar Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kini diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, pihaknya telah melakukan satu tindakan penguatkuasaan bagi memastikan penerokaan secara haram terhadap kawasan Ramsa yang diwartakan pada 30 Ogos 2007 dapat dibanteras.

“Kita kini sedang melakukan operasi penguatkuasaan bersepadu di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera selamat sebulan membabitkan lima agensi dengan kekuatan seramai 160 anggota.
“Selain UPNP yang mengetuai operasi turut sama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, ” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesyaki terdapat sindiket haram yang berselindung di sebalik nama masyarakat Orang Asli untuk melakukan pencerobohan tanah secara haram dan berskala besar.
Saifullah berkata, pihaknya mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang bertindak memanipulasi Orang Asli untuk membuka beribu hektar tanah dengan berselindung di belakang alasan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli.
Katanya, ada tempat yang pihaknya temui perkampungan Orang Asli hanya terdapat enam rumah, namun terdapat penerokaan hutan beribu hektar. Persoalannya adakah di kira sebagai tanaman sara hidup.
Mengulas insiden yang tular berkenaan tindakan anggota penguat kuasa yang dilihat menyepak bekas kemenyan, beliau berkata tindakan provokatif oleh pihak terlibat merupakan halangan untuk pihaknya menjalankan tugas.
“Ketika operasi dilakukan banyak provokasi dan sekatan laluan utama dilakukan oleh komuniti Orang Asli. Sebagai contoh, sepanjang empat hari operasi kita mengesan sebanyak 10 kampung dan semua jalan masuk ke penempatan mereka disekat dengan halangan berpagar dan digantung dengan tulang dan bekas kemenyan diletakkan di tengah jalan.
“Apa tujuan Orang Asli berbuat demikian tidak pasti, mungkin niat untuk mengenakan santau atau mencederakan semua penguat kuasa yang bertugas. Kami tidak ada pilihan selain membuka halangan pagar dan mengalih bekas kemenyan,” katanya.
IMedikel TV






