Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Seramai 61 penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2026 yang diadakan selama sebulan.
Majlis penutup kursus serta pemakaian pangkat pegawai dan anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah disempurnakan oleh Komander Rejimen 505 (AW), Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin di Kem Force 136, Sungai Miang, di sini semalam.
Hadir sama Ketua Kompeni Alpha Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Hazami Hussin dan Ketua Kompeni Alpha Batalion Ke-Empat Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Dr Imaduddin Abidin.
Hazami berkata, UMPSA memberi sokongan selain menyediakan kemudahan dalam memastikan kelancaran sepanjang pelaksanaan Kursus APMS Siri 2/2026.
Menurutnya, penyertaan penuntut UMPSA pada kursus kali ini begitu menggalakan, seramai 61 penuntut berjaya menamatkan kursus dengan jayanya. Setiap cabaran diharungi dengan penuh semangat.
“Kita akan terus berusaha menarik minat lebih ramai lagi penuntut UMPSA menganggotai pasukan Askar Wataniah seterusnya mengikuti setiap latihan yang diadakan secara berjadual.
“Penuntut UMPSA yang menganggotai pasukan Askar Wataniah mampu membentuk tahap displin yang terbaik selain memiliki pelbagai kemahiran dalam bidang ketenteraan,” katanya.
Pada majlis yang sama turut diadakan upacara pemakaian pangkat kepada lapan pegawai dan 13 anggota sukarela, sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab dan amanah yang bakal digalas dalam perkhidmatan.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Penuntut Kursus, Penuntut Keseluruhan Terbaik diberikan kepada Perajurit Muda Tengku Afiq Abidin Tengku Mohd Mustaffa.
Akademik Terbaik milik Muhammad Hafiz Ikhwan Noor Azran merupakan penuntut tahun dua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif.
Penuntut Kawad Terbaik, Perajurit Muda Nur Rasya Aleeya Abdul Hakim adalah penuntut tahun dua Fakulti Sains Industri dan Teknologi.
IMedikel TV






