KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Elizad menyifatkan tawaran membintangi drama terbitan TV AlHijrah, Mistik Bilik Mayat, sebagai peluang bermakna yang bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah menyedarkannya mengenai hakikat kematian dan pengurusan jenazah.
Memetik laporan Berita Harian, Siti Elizad, 42, berkata, perkara menarik mengenai naskhah arahan Rashid Sibir itu adalah setiap episod mengetengahkan kisah berbeza, sekali gus memberikan pelbagai pengajaran untuk diteladani.
“Saya melihat sendiri cara jenazah diuruskan. Jadi, saya terfikir, kita ini nanti akan mati dengan cara bagaimana?
“Kita juga bakal menjadi jenazah. Bila tengok semua itu, alamak, takutnya. Ada yang berat, ada yang ringan ketika mengangkat jenazah. Semua itu buat saya terfikir,” katanya ketika ditemui pada sidang media Pentas Drama TV AlHijrah 2026 di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini, baru-baru ini.
Siti Elizad berkata, peluang bekerjasama dengan pengarah berpengalaman seperti Rashid juga membuatkan dia lebih menghargai tawaran itu, apatah lagi karya pengarah berkenaan sebelum ini sarat dengan mesej kemanusiaan.
“Dapat watak ini pun sebenarnya sudah membuatkan saya berbesar hati. Kita tahu naskhah daripada Rashid Sibir banyak pengajaran dan nasihat.
“Malah, apabila bekerjasama dengan TV AlHijrah, apa yang saya lihat, mereka lebih mengetengahkan cerita yang mempunyai pengajaran pada penghujungnya. Ada nasihat dan perkara yang kita perlu faham sendiri.
“Apabila kita jadi manusia, setiap hari adalah proses pembelajaran. Apa yang mereka paparkan sebenarnya saya suka kerana manusia perlu belajar apabila berhubung dengan orang lain dan sebaik-baiknya kita elak guna kekasaran.
“Ubat terbaik dalam hidup kita adalah kasih sayang. Bukan sahaja dengan keluarga atau pasangan, malah dengan jiran. Bila saya berada dalam drama TV AlHijrah, banyak yang kita belajar,” katanya.
Akui Siti Elizad, peluang membintangi drama berkenaan seolah-olah teguran buat dirinya untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
“Saya kira penyampaian drama ini ada unsur dakwah dan agama dan saya sebenarnya suka. Mungkin sebab usia kita sudah semakin meningkat.
“Bukan ketika muda kita tidak mahu mendekatkan diri, tetapi apabila usia semakin meningkat, kita lebih mahu mendalaminya.
“Bila Allah lorongkan kita ke stesen sebegini, kita rasa seperti mendapat teguran setiap hari. Setiap episod pula berbeza, jadi lebih banyak perkara yang kita belajar,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya menjayakan babak memandikan jenazah, Siti Elizad mengakui pada awalnya dia berasa bimbang, terutama apabila memikirkan kemungkinan berdepan perkara mistik.
“Apabila dapat tawaran, mereka beritahu skrip daripada Rashid dan watak saya perlu memandikan jenazah. Memang perkara pertama yang saya fikir, alamak, kena masuk bilik jenazah.
“Kita terfikir, jenazah itu betul atau tidak? Takkanlah kita hendak tanya pula, nanti nampak macam mengada-ngada. Jadi, saya cabar diri sendiri dan tawakal sahaja.
“Apabila saya lihat muka pelakon ditutup dan diikat, masa itulah bila hendak tidur, seminggu lebih, mungkin dua minggu juga saya terfikir. Pejam mata sahaja, terbayang.
“Apa yang saya belajar daripada ustaz adalah apabila kita mati, kita tidak tahu pun kita sudah mati. Jadi, banyak benda yang bermain dalam fikiran saya,” katanya.
Lebih daripada sekadar lakonan, Siti Elizad berkata, drama berkenaan menjadi ruang untuk mengingatkan dirinya dan penonton mengenai kematian serta kepentingan membuat persediaan untuk menghadapinya.
“Banyak yang membuatkan saya tertarik dengan cerita ini. Kalau dapat sambungan dengan lebih banyak episod, sebenarnya lagi seronok.
“Apabila orang tengok, setiap episod ceritanya berbeza, mereka akan lebih tertunggu-tunggu untuk melihat pengakhiran serta apa pengajaran dan nasihat yang mahu disampaikan,” katanya.
Mistik Bilik Mayat akan bersiaran menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) mulai Selasa ini hingga 26 Oktober, jam 10 malam.
Siri lapan episod arahan Rashid Sibir terbitan Opera Klasik Film itu membawa penonton mendekati tema kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian, iaitu ruang yang jarang diterokai secara mendalam dalam drama televisyen (TV).
Pada masa sama, pelbagai kepercayaan mistik dan amalan yang berakar dalam masyarakat dirungkai menerusi perspektif Islam.
Selain Siti Elizad, drama bersiri ini Barisan dibintangi Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.
AlHijrah turut memperkenalkan tiga lagi karya baharu iaitu Bersuara Tapi Tak Didengar, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan, khusus untuk tayangan premium di aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian.
Keempat-empat karya berkenaan tampil dengan latar, genre dan persoalan berbeza, namun kekal dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Menerusi empat karya itu, TV AlHijrah meneruskan pendekatan menjadikan hiburan sebagai medium yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi membuka ruang kepada penonton untuk menghayati persoalan kehidupan, nilai kemanusiaan dan pengajaran berteraskan Islam. – BH Online –
IMedikel TV






