Home Buletin Semasa LEBIH 500 PENIAGA RANTAU PANJANG RESAH REZEKI MEROSOT AKIBAT PEMBAHAGI JALAN, PENGHADANG...

LEBIH 500 PENIAGA RANTAU PANJANG RESAH REZEKI MEROSOT AKIBAT PEMBAHAGI JALAN, PENGHADANG DINDING

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Lebih 500 peniaga di pekan Rantau Panjang berdepan dengan kekurangan pelanggan susulan pembinaan pembahagi jalan serta penghadang dinding di kawasan Zon Bebas Cukai itu.

Tinjauan kru IMedikel TV mendapati beberapa premis perniagaan termasuk Bazar Putri, Bazar Impian, Bazar Shazie dan Bazar Ibrahim lengang sejak laluan jalan sehala diwujudkan tahun lalu.

Situasi bertambah buruk apabila penghadang dinding zink setinggi lebih tiga meter dibina sejak dua minggu lalu sehingga menutup pandangan ke arah bangunan bazar.

Peniaga, Muhammad Syakirin Samsudin, 28, berkata disebabkan keadaan itu pengunjung yang datang ke pekan tersebut tidak lagi ke bazar sekitar kawasan itu.

“Kami sebagai peniaga memang menyokong pembangunan di sekitar sini tetapi disebabkan zink terlalu tinggi menyebabkan ia menghalang kedai di kawasan ini.

“Setakat ini tiada makluman daripada pihak berkenaan dan saya tidak pasti berkenaan projek tersebut.

“Jadi harapan kami sebagai peniaga supaya penghadang itu direndahkan sedikit, tetapi mohon untuk rendahkan supaya pengunjung yang datang perasan bazar di sekitar sini,”katanya.

Seorang lagi peniaga, Rozmah Mat Wil, 66, berkata disebabkan situasi itu ada peniaga di kawasan tersebut sudah gulung tikar kerana sukar untuk mendapatkan jualan.

“Perniagaan kami semakin merosot, bahkan ada peniaga yang tidak mendapat jualan termasuk hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu.

“Jadi kasihan kepada peniaga, usahkan pengunjung datang ke sini jualan langsung tiada,”katanya.

Dia yang sudah berniaga lebih 30 tahun berkata kewujudan pembahagi jalan dan penghadang dinding itu mengelirukan pengunjung yang datang ke pekan itu.

“Berkenaan dengan pembahagi jalan sebelum ini tidak ada. Sekarang ini kenderaan terpaksa pusing agak jauh.

“Dengan keadaan sekarang penghadang dinding zink ini juga tinggi jadi ramai pengunjung tidak tahu kewujudan kedai di sebelah sini kecuali mereka yang sudah biasa ke sini.

“Lagi satu masalah adalah kami tidak tahu projek yang dibina di sebalik penghadang dinding zink ini. Jadi ia tertutup keseluruhan menyebabkan kekurangan tempat letak kereta.

“Jadi saya mohon untuk buang pembahagi jalan itu supaya kenderaan boleh masuk ke kawasan sini,”katanya.

Rozmah berkata dia juga memohon supaya penghadang dinding zink itu dibuang sementara waktu terutama musim cuti persekolahan tidak lama lagi.

Sementara itu KamarohZaman Ibrahim, 63, memaklumkan mereka sudah menghantar surat rasmi dan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tempatan serta Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Kami sudah menghantar surat rasmi dan mengadakan perjumpaan secara bersemuka tetapi hingga kini tiada tindakan.

“Setiap hari suasana di bazar lengang dan ramai peniaga terpaksa menutup kedai kerana tiada pendapatan. Kami harap kerajaan negeri dapat campur tangan segera.

“Kami juga memohon supaya pemimpin mahupun kerajaan negeri untuk membantu ratusan peniaga di sini,”katanya.

Dia yang juga peniaga di Bazar Haji Ibrahim turut terkesan dengan situasi tersebut.

“Masalah pembahagi jalan itu menyebabkan pengunjung tidak lagi berkunjung ke bazar di sekitar kawasan ini kerana terhalang.

“Mereka tidak boleh melalui jalan di sini, jadi ramai tidak tahu bazar di sini,”katanya.

Di sebalik cabaran itu, para peniaga tetap mengharap ada sinar baharu buat Rantau Panjang, sebuah pekan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan pelancong dan pembeli.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here