Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lebih 30,000 pengunjung rakyat Kelantan membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyambut Ambang Merdeka Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Kelantan, malam tadi.
Sambutan tersebut dimulakan dengan acara nyanyian lagu patriotik yang berkumandang serentak dinyanyikan ribuan pengunjung.

Lebih 2,000 kekuatan peserta berarak masuk bersama 68 kibaran Jalur Gemilang simbolik bagi 68 tahun sambutan Hari Kebangsaan.
Sebanyak 68 kontinjen daripada pelbagai agensi menyertai perbarisan sempena Hari Kebangsaan.
Kontinjen I Medikel juga turut serta dalam perbarisan dengan langkah yang segak dan penuh semangat patriotik.

Selain itu, sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari agensi-agensi kerajaan dan diserikan dengan persembahan Jalur Gemilang dari institut pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Polytech Mara Kota Bharu.
Menyemarakkan lagi semangat patriotik, persembahan brass band dari Sekolah Menengah Sains Machang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa serta Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, bersama penyertaan kadet-kadet badan beruniform dari pelbagai sekolah turut memeriahkan suasana.
Sebelum berlangsungnya laungan Merdeka, kesemua pengunjung teruja melihat pertunjukan Akrobatik Motosikal serta pertunjukan motosikal berhias dari Kelab Motosikal Klasik Kelantan sebagai penutup perbarisan.
Tepat jam 12 malam, langit di stadium diserikan dengan percikan bunga api beserta laungan Merdeka oleh seluruh pengunjung sambil mendongak ke langit diiringi nyanyian lagu Kemerdekaan.
Jelas terpancar kegembiraan pada raut wajah semua pengunjung dan peserta yang hadir.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
IMedikel TV





