Home Buletin Semasa 16 BAYI MERDEKA LAHIR DI HRPZ II

16 BAYI MERDEKA LAHIR DI HRPZ II

260
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah @IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 16 bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 sehingga jam 10 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 11 adalah bayi lelaki dan lima perempuan, termasuk seorang bayi perempuan yang menjadi kelahiran pertama pada jam 12.40 tengah malam.

Pengarah HRPZ II, Dr. Izamin Idris berkata, kelahiran bayi pada tarikh penuh bersejarah ini memberi makna tersendiri bukan sahaja kepada keluarga, malah seluruh warga hospital.

“Kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan bukan sahaja satu momen bersejarah buat keluarga, malah menyuntik semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan rakyat.

“Kami di HRPZ II amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik bermakna ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim.

Sementara itu, ibu kepada bayi merdeka pertama, Syamimi Afiqah Shuhairi, 27, meluahkan rasa syukur atas kelahiran anak sulungnya yang jatuh pada tarikh penuh bermakna ini.

“Saya amat bersyukur kerana proses kelahiran berjalan lancar dan bayi berada dalam keadaan sihat. Tidak sangka anak saya dilahirkan tepat pada Hari Kebangsaan.

“Ia menjadi kenangan yang sangat istimewa buat kami sekeluarga. Semoga anak ini membesar menjadi insan yang berguna dan mencintai negara,” katanya.

HRPZ II turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Bank Rakyat Cawangan Kota Bharu dan UKeKWa atas kerjasama menjayakan program tersebut, selain mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata pada tarikh bersejarah ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here