Home Sukan EVERTON TUNDUKKAN WOLVES, SUNDERLAND BANGKIT KEJUTKAN BRENTFORD

EVERTON TUNDUKKAN WOLVES, SUNDERLAND BANGKIT KEJUTKAN BRENTFORD

310
0

LONDON: Jack Grealish menyerlah dalam aksi penuh dramatik apabila membantu Everton menewaskan Wolves 3-2 di Molineux, manakala Sunderland pula bangkit pada saat akhir untuk menumpaskan Brentford 2-1 di Stadium of Light.

Di Molineux, Everton membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Beto hasil hantaran Grealish.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-21 apabila hantaran Marshall Munetsi disudahkan Hwang Hee Chan yang melepaskan rembatan padu ke bumbung gawang, gol pertamanya sejak Disember.

Namun, skuad Toffees segera bangkit semula apabila Iliman Ndiaye menyempurnakan gerakan cantik membabitkan Grealish dan Kiernan Dewsbury Hall pada minit ke-33 untuk kembali di depan.

Dewsbury Hall turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Grealish sebelum Rodrigo Gomes mengurangkan defisit Wolves pada minit ke-79, tetapi ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan Everton.

Sementara itu, Sunderland mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit di hujung permainan untuk menundukkan Brentford.

Brentford diberikan penalti selepas Reinaldo menjatuhkan Nathan Collins, namun sepakan Kevin Schade ditepis kemas penjaga gol Robin Roefs.

Walaupun begitu, Brentford akhirnya memecah kebuntuan menerusi tandukan Igor Thiago pada minit ke-77.

Kebangkitan Sunderland bermula pada minit ke-82 apabila mereka dihadiahkan penalti selepas Rico Henry menjatuhkan Habib Diarra, dengan Enzo Le Fee menyempurnakan peluang itu.

Kemenangan dramatik mereka disahkan pada masa kecederaan apabila Wilson Isidor menanduk masuk bola melepasi tangkapan lemah Caoimhin Kelleher, sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua Sunderland sejak kembali ke Liga Perdana Inggeris. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here