Home Buletin Semasa LEBIH 3,000 KES SEKSUAL KANAK-KANAK DIDAKWA DI MAHKAMAH

LEBIH 3,000 KES SEKSUAL KANAK-KANAK DIDAKWA DI MAHKAMAH

162
0

Sebanyak 3,060 kes mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dihadapkan ke mahkamah sejak 2018 hingga Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 5,519 kes dilaporkan dan 4,713 daripadanya berjaya diselesaikan.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Kerajaan juga sedang dalam proses membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada. Selain itu, kerajaan juga akan turut meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676].

“Pindaan itu memperuntukkan pendengaran khas yang mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya tidak perlu menghadiri perbicaraan dan pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan tidak wajar diajukan bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak dapat memberi keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta menyatakan jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Azalina, berkata, kaedah perundangan saja tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Katanya, semua langkah diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu mesra kanak-kanak.

“Ini termasuk pada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan hingga ke prosiding di mahkamah.

“Perkara ini mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik daripada saksi kanak-kanak dan meminimumkan trauma serta stigma yang bakal dihadapi kanak-kanak terbabit,” katanya.

Sumber: BH Online

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here