Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut satu kenyataan media, karnival tersebut adalah kerjasama MYFutureJobs yang melibatkan 100 majikan daripada pelbagai industri iaitu Air Asia, Standard Chartered, Gentari, Bank Simpanan Nasional (BSN), Malaysia Aviation Group (MAG) dan pelbagai lagi.
Karnival tersebut berlangsung melalui Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) dengan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bagi pengunjung yang datang, mereka berpeluang mendapat perkhidmatan kaunseling kerjaya serta mereka yang mencari pekerjaan boleh menyertai temuduga secara terbuka termasuk pelajar tahun akhir pengajian tinggi untuk meneroka peluang apabila graduasi kelak sekaligus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.
Sehubungan dengan itu, penganjuran Putrajaya FOI adalah bertujuan merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global.
Selain itu, ia turut mengumpulkan pakar, pemikir, pemimpin, ahli akademik, industri dan masyarakat umum untuk berbincang dan berkongsi idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa.
Terdapat pelbagai pengisian program diadakan termasuk Sidang Idea Malaysia sepanjang 27 hingga 29 November nanti.
IMedikel TV






