Home Buletin Semasa LAMBAIAN TANGAN PENDUDUK SENTUH HATI PASUKAN KONVOI PEMANDU VAN JENAZAH

LAMBAIAN TANGAN PENDUDUK SENTUH HATI PASUKAN KONVOI PEMANDU VAN JENAZAH

408
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Lambaian tangan penduduk sepanjang perjalanan menyentuh hati pemandu pasukan konvoi van jenazah yang membawa pulang 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan membabitkan bas di Gerik, Perak.

Pengerusi Tengku Hatrith Team Ventures, Tengku Muhd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis berkata, misi membawa pulang jenazah itu turut menjadi tular dalam video Perak Press dua hari lalu bertulis ‘Sayu di sepanjang perjalanan… Jenazah adik-adik UPSI yang terlibat kemalangan, dalam perjalanan melepasi Lebuh raya Meru malam tadi dengan diringi doa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan”.

“Ini adalah pengalaman bersejarah yang menyentuh hati seluruh rakyat di negara ini dan kami bersyukur kerana turut sama menjadi sebahagian sukarelawan dan penyumbang.

“Ada yang melambai tangan, memberi isyarat lampu di sepanjang jalan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak, di Lebuh raya Timur-Barat menuju ke Besut, orang ramai sanggup memberhentikan kenderaan bagi menyaksikan konvoi kepulangan jenazah terbabit,” katanya ketika ditemui di Kampung Wakaf Raja, di sini.

Jelasnya situasi itu menjadikan sukarelawan lebih bersemangat dan pengorbanan mereka sangat dihargai walaupun tanpa gaji dan upah.

Tengku Muhd Harith Hakimin berkata, apa yang lebih menyentuh hati juga, ketika pasukan mereka tiba di Bilik Forensik hospital berkenaan, orang ramai terutama netizen yang mengikuti perkembangan di media sosial turut sama menghulurkan sumbangan makanan kepada sukarelawan.

Beliau berkata, pasukan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut berjaya mengumpulkan 20 kenderaan pulang secara konvoi diiringi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dan Besut, Terengganu.

“Kami bukan sahaja membawa pulang jenazah, tetapi turut menumpangkan setiap wakil keluarga mangsa yang terlibat bagi melancarkan mengurus jenazah.

“Misi menjayakan urusan ini bukan sahaja melibatkan Tengku Harith Team Ventures sahaja, tetapi mendapat kerjasama beberapa pasukan kebajikan dan sukarelawan lain dari seluruh negara, antaranya Pertubuhan Komuniti Amal Warisan Kedah, Pertubuhan Komuniti Amal Besut, Pertubuhan Komuti Amal Setiu dan Ummah Care (Pasir Puteh),” katanya.

Katanya, selain pasukan kebajikan NGO, terdapat juga masjid-masjid yang turut sama menghulurkan bantuan termasuk Masjid Alor Lintang, Masjid Kampung Raja, Masjid Pengkalan Nyireh, Masjid Air Terjun, Masjid Nurul Iman, Masjid Keruak, juga Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Tengku Muhd Harith Hakimin berkata, misi tersebut bermula sebaik sahaja beliau dimaklumkan Pertubuhan Amal Komuniti Besut diketuai Mohd Azizul Azli Mohd Sani berhubung kes kemalangan maut membabitkan bas membawa pelajar UPSI yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan membawa pulang jenazah.

Katanya, sehingga kini, lebih 400 kes dikendalikan oleh khidmat van jenazah mewah dan percuma serta ambulan Tengku Harith Team Ventures bermula ketika pesakit COVID-19 di Kelantan pada 2020 dengan mengendalikan 22 jenazah secara purata sehari.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here