BEIRUT: Kumpulan pejuang Islam dan sekutu mereka yang disokong Turkiye memasuki Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria, semalam, selepas melancarkan serangan ke atas pasukan kerajaan yang disokong Iran dan Russia.
Pertempuran itu adalah antara yang paling sengit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan 277 orang terkorban, menurut badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Angka korban itu termasuk 28 orang awam, kebanyakan mereka terbunuh dalam serangan udara Russia.
Serangan itu bermula pada Rabu, hari yang sama apabila gencatan senjata berkuat kuasa di Lubnan yang bersebelahan, antara Israel dan kumpulan pejuang Hizbullah.
Semalam, kumpulan pejuang Islam dan sekutu mereka sudah menguasai lebih daripada 50 bandar dan kampung di utara, menurut badan pemantau yang berpangkalan di Britain, dalam kehilangan wilayah terbesar kerajaan Syria sejak beberapa tahun lalu.
Mereka kemudiannya memasuki daerah barat Aleppo, sebuah bandar dengan kira-kira dua juta penduduk.
“Mereka ‘bergerak tanpa sebarang tentangan besar daripada pasukan rejim,” kata pengarah badan pemantau, Rami Abdel Rahman, sambil menambah mereka sudah menguasai lima kejiranan.
Media negara melaporkan bahawa empat orang awam terbunuh apabila sebuah asrama pelajar di Aleppo dibom oleh HTS, sebuah gabungan pejuang yang dipimpin oleh cawangan Al-Qaeda di Syria.
Penambahan pasukan tentera tiba di Aleppo, kata seorang pegawai keselamatan Syria kepada AFP, yang meminta untuk tidak dinamakan, kerana membincangkan perkara sensitif.
Menurut satu kenyataan, pasukan tentera sudah menangkis serangan ke atas bandar itu dan berjaya menguasai semula beberapa kedudukan.
Pejuang Islam dan sekutu mereka turut memasuki bahagian utara, termasuk di bandar Saraqib yang berada di jalan menuju Aleppo, kata badan pemantau.
Pesawat perang Syria dan Russia melancarkan serangan udara ke atas enklaf pemberontak di sekitar Idlib, tempat pejuang Islam berpusat, dengan melancarkan 23 serangan udara.
Tentera Rusia berkata mereka sedang mengebom pasukan ‘pelampau’
“Pasukan udara Russia sedang melancarkan serangan roket terhadap… titik kawalan, gudang dan kedudukan artileri pengganas,” kata jurucakap kementerian pertahanan kepada agensi berita Russia.
Turkyei menuntut penghentian serangan udara berkenaan.
“Pertempuran terbaru menyebabkan peningkatan ketegangan yang tidak diingini di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan Kementerian Luar. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






