Home Buletin Semasa KUDRAT BAPA BERMASALAH SARAF MATA JADI TALIAN HAYAT KELUARGA

KUDRAT BAPA BERMASALAH SARAF MATA JADI TALIAN HAYAT KELUARGA

148
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Walaupun berdepan masalah saraf mata yang semakin menjejaskan penglihatan, kudrat seorang bapa tetap menjadi talian hayat buat keluarganya di Kampung Tempoyak, di sini.

Mohd Lazim Awang, 46, yang menyara keluarga dengan mengopek kelapa, hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20 sehari bagi menyara isterinya, Saodah Mahsin, 40, serta tiga orang anak berusia antara enam hingga 13 tahun yang masih bersekolah.

Menurut Mohd Lazim, masalah saraf mata yang dihidapinya menyebabkan penglihatannya semakin kabur, sekali gus mengehadkan peluang untuk melakukan pekerjaan lain.

“Pendapatan RM20 sehari memang tidak mencukupi, namun inilah satu-satunya talian hayat buat keluarga kami.

“Saya tidak mampu melakukan kerja lain kerana masalah saraf mata dan penglihatan yang semakin tidak jelas,” katanya ketika ditemui selepas menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Masjid Jamek Mahmoodi, di sini, semalam.

Beliau berkata, kehidupan seharian mereka terpaksa dijalani dengan penuh berjimat cermat, malah ada kalanya terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup.

“Kami makan sekadar ala kadar sahaja, kadang-kadang hanya nasi dengan garam atau roti untuk alas perut,” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Lazim berkata anak keduanya, Nur Syahida Mohd Lazim, 9, turut mengalami masalah saraf mata sejak lahir.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila anaknya kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dengan bantuan pihak Sekolah Kebangsaan Sri Nipah, Bachok.

Namun Mohd Lazim bersyukur apabila anaknya menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 pada Majlis Pelancaran dan Pengurniaan BAP Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tahun 2026 yang disampaikan oleh Yang Dipertua MAIK merangkap Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

“Bantuan ini memberi sinar baharu buat keluarga kami kerana dapat meringankan beban kewangan. Wang ini akan digunakan untuk keperluan harian persekolahan anak,” katanya.

Beliau menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna dan berharap anak-anaknya dapat meneruskan persekolahan tanpa tercicir meskipun berdepan kekangan kewangan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here