Home Buletin Semasa KPM WAJIBKAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH SEAWAL USIA LIMA TAHUN

KPM WAJIBKAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH SEAWAL USIA LIMA TAHUN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewajibkan pendidikan peringkat prasekolah bermula pada usia lima tahun bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengalaman pembelajaran asas yang holistik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata ia sejajar dengan komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah akan dibuka di bawah KPM seluruh negara.

“Kita akan beri tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan prasekolah hingga menengah,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai tahap sejagat dengan tiada kanak-kanak tercicir daripada pendidikan.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Selain itu, KPM juga menerima peruntukkan sebanyak RM67 bilion untuk sektor pendidikan bagi menjalankan kerja pembinaan sekolah baharu, memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.

“Inisiatif pembinaan sekolah yang dijadikan sebahagian syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu serta peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi,” katanya.

Jelasnya, KPM turut menekankan penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).

Justeru, kerajaan akan menambahbaik pengambilan guru baharu, program latihan persediaan serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.

RMK13 adalah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia.

IMeidkel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here