SEOUL: Ketua pasukan, Son Heung-min mengumumkan akan menamatkan karier selama satu dekad bersama Tottenham Hotspur musim panas ini, sekali gus menutup tirai kepada era gemilangnya di kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pemain kebangsaan Korea Selatan berusia 33 tahun itu masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2026, namun memutuskan untuk meninggalkan kelab selepas membantu Spurs merangkul trofi pertama mereka dalam tempoh 17 tahun – menewaskan Manchester United pada final Liga Europa, Mei lalu.
“Saya sudah membuat keputusan untuk tinggalkan pasukan musim panas ini.
“Saya fikir ini antara keputusan paling sukar dalam karier bola sepak saya. Bermain dengan satu pasukan selama 10 tahun adalah sesuatu yang sangat saya banggakan, tetapi saya rasa saya sudah memberikan segalanya kepada pasukan, setiap hari.
“Saya berikan yang terbaik di dalam dan luar padang, dan dengan kejayaan menjulang Liga Europa, saya fikir saya sudah capai apa yang saya mampu,” kata Heung-min pada sidang media menjelang aksi pramusim menentang Newcastle United di Seoul, esok.
Heung-min belum mendedahkan destinasi seterusnya, namun media Britain mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC.
Sejak menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada tahun 2015, Heung-min membuat 454 penampilan dan menjaringkan 173 gol. Dia turut memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris pada musim 2021-22.
“Ia tempat saya berkembang, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi juga sebagai individu. Saya sangat berterima kasih kepada kelab ini,” katanya.
Pengurus Spurs, Thomas Frank menyifatkan Heung-min sebagai “legenda sebenar Spurs dalam semua aspek”.
“Saya suka apabila kelab bersikap terbuka dengan keputusan ini kerana memang sukar mencari masa yang benar-benar sesuai… tetapi saya fikir ini masanya yang paling tepat – pergi ketika di puncak,” kata Frank. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






