Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PERAK: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) negara dalam usaha melahirkan generasi pemikir ulung, saintis, inovator dan pemimpin masa hadapan bertaraf global.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama strategik yang dimeterai di Undercroft, Universiti Teknologi PETRONAS, Seri Iskandar, Perak hari ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa pembangunan bakat murid berpotensi tinggi melalui pendekatan pendidikan yang lebih komprehensif dan berteraskan inovasi.
“Kerjasama strategik ini adalah langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) yang berpusat di Akademi Sains Pendang (ASP), yang berperanan sebagai hab kecemerlangan pendidikan pintar cerdas negara.
“Melalui gabungan kepakaran kedua-dua pihak, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan merangkumi pembangunan bakat murid, pengayaan kurikulum, pemerkasaan guru, penyelidikan dan inovasi, pembangunan infrastruktur masa hadapan serta pengukuhan jaringan strategik dengan institusi pengajian tinggi dan industri,”menurut kenyataan itu.
Majlis pemeteraian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Presiden UTP, Ir. Mohamed Firouz Asnan, serta disaksikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM, Dr. Zakiah Shafiee dan Provos UTP, Profesor Dr. Benjamin Colin Cosh.
Menurut kenyataan kerjasama itu turut membuka peluang lebih luas kepada murid untuk berkolaborasi dengan ahli akademik, penyelidik dan pemain industri, selain meningkatkan akses kepada program pensijilan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat secara lebih menyeluruh.
“Inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh ekosistem PPC negara melalui penyediaan peluang pembelajaran bertaraf global, penghasilan penyelidikan dan inovasi murid, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembentukan individu berintegriti dan berdaya saing.
“Pemilihan UTP sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan reputasi cemerlang universiti berkenaan dalam bidang penyelidikan dan STEM, selain memiliki hubungan kukuh dengan pelbagai pemain industri yang mampu menyokong aspirasi pembangunan ASP sebagai hab PPC negara,”jelas kenyataan itu.
KPM menegaskan bahawa kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat secara holistik, mampan dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri dan rakan strategik bagi memastikan pembangunan bakat murid Malaysia dilaksanakan secara holistik, mampan dan berimpak tinggi demi kemajuan negara.
IMedikel TV






