Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Cubaan menyeludup 3,000 batang rokok putih dipercayai dari negara jiran gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya mematahkan kegiatan itu dalam satu operasi di Pengkalan Kubor, Isnin lalu.
Rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan oleh Strike Force Sektor C, Kompeni C Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa kira-kira jam 2.30 petang.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata berkata, pasukan rondaan mengesan sebuah Proton Wira Aeroback berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, pemandu kenderaan berkenaan bertindak memecut laju sebelum melarikan diri ke kawasan semak di Kampung Kok Pauh dan meninggalkan kereta tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sebanyak 3,000 batang rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata turut dirampas sebuah Proton Wira Aeroback yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM10,610.
“Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,”katanya.
IMedikel TV






