Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan untuk memastikan kelancaran sesi persekolahan pasca banjir dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan di sekolah terjejas sebelum pembukaan semula selepas Cuti Penggal 2, Sesi 2025/2026.
Menurut kenyataan KPM pada Jumaat, setakat jam 8 pagi semalam, sebanyak 69 sekolah di Sabah dan Sarawak dilaporkan terjejas akibat banjir.
“Di Sabah, sebanyak 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah manakala di Sarawak sebanyak 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah yang terjejas.
“Selain itu, tujuh Pusat Pemindahan Sementara di premis institusi pendidikan KPM negeri Sabah kini sedang beroperasi,” jelas kenyataan itu.
KPM turut memaklumkan bahawa murid yang terkesan diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah, manakala mereka yang terkandas dan tidak dapat hadir boleh mengikuti proses pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Dalam pada itu, KPM juga menyediakan bantuan kepada murid terjejas termasuk dalam aspek penyediaan bahan pembelajaran serta sokongan psikososial dan emosi.
Pada masa sama, KPM menggesa ibu bapa, guru, pegawai dan anggota kumpulan pelaksana yang terjejas agar memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan berkaitan.
Pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah juga diminta untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi berkaitan.
“KPM memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






