Home Buletin Semasa KKR PERTINGKAT SIAPSIAGA OPERASI BIGBEN, SISTEM EBENCANA HADAPI MTL

KKR PERTINGKAT SIAPSIAGA OPERASI BIGBEN, SISTEM EBENCANA HADAPI MTL

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada November hingga Mac setiap tahun.

KKR dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR dipertingkatkan untuk menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama bagi agensi yang menguruskan bencana.

“BiGBen turut berfungsi menjadi pusat sehenti pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan kerosakan atau runtuhan jambatan yang melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.

“Dalam masa sama, JKR Malaysia bersama Syarikat Konsesi mengambil tindakan proaktif dalam pengurangan risiko iaitu melakukan persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana,” jelas kenyataan KKR, pada Jumaat.

KKR berkata, sebagai persiapan sebelum menghadapi musim tengkujuh, peralatan seperti papan tanda sementara, barrier, kanvas, blinkers, dan bahan coldmix juga disediakan.

Selain itu, lokasi banjir, cerun runtuh, dan pokok tumbang juga dikenalpasti awal untuk tindakan pantas selain pancang banjir dipasang dan laluan alternatif disediakan serta pembersihan longkang dipertingkat termasuk gotong-royong di kawasan sering dinaiki air.

“Bagi persediaan semasa bencana, papan tanda amaran juga dipasang dan paras air dipantau berkala, laluan terhalang dibersih segera dan tampalan pothole disiapkan dalam masa 24 jam serta maklumat dikemas kini di bencana.jkr.gov.my.

“Persediaan selepas bencana pula, semua kerosakan jalan dan struktur juga akan dikenalpasti untuk dibaik pulih segera,” jelas KKR.

KKR turut menggesa orang awam agar sentiasa berhati-hati dan melaksanakan semakan laluan jalan raya yang selamat untuk dilalui sebelum memulakan perjalanan menerusi Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia (bencana.jkr.gov.my), Aplikasi eBencana JKR (AppStore dan Google Play) dan Facebook BiGBen – Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here